KAPTEN Argentina, Lionel Messi memberi bayangan tidak akan bermain dalam edisi Piala Dunia 2026, selepas pemain berusia 35 tahun itu membawa kuasa bola sepak benua Amerika Selatan tersebut merangkul kejuaraan temasya berprestij di Qatar tahun lalu.
"Saya rasa tidak kerana sebelum ini saya pernah berkata beberapa kali bahawa edisi 2022 merupakan Piala Dunia terakhir saya...
"Bagaimanapun, saya akan lihat keadaan tetapi secara teori saya tidak fikir akan berada dalam Piala Dunia seterusnya...," katanya ketika ditanya kemungkinan dia beraksi dalam edisi 2026 di Amerika Utara.
Sebagai rekod, Messi akan berusia 39 tahun semasa kejuaraan seterusnya.
Sebagai rekod, Piala Dunia di Amerika Utara pada 2026 - Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico akan menjadi kejuaraan pertama membabitkan 48 pasukan, penambahan daripada 32 pasukan pada kejohanan tahun lalu di Qatar.
Ia bermakna dijangka terdapat 104 perlawanan, penambahan besar berbanding 64 perlawanan pada Qatar 2022.
Pemenang Ballon d'Or tujuh kali itu kini berada di Beijing mengetuai La Albiceleste kendalian Lionel Scaloni berdepan Australia dalam perlawanan persahabatan pada Khamis.
Perlawanan itu merupakan aksi ulangan perlawanan pusingan 16 terakhir Piala Dunia kedua-dua pasukan di Doha, yang dimenangi Argentina 2-1.
Sementara ketika ditanya mengenai Ballon d'Or, Messi berkata,"Adakah Ballon d’Or penting kepada saya? Tidak, pada peringkat ini dalam hidup saya, ia tidak lagi penting bagi saya.
"Saya selalu berkata, hadiah individu bukanlah perkara yang penting bagi saya, tetapi hadiah kolektif adalah yang paling penting bagi saya.
"Hadiah paling penting buat masa ini ialah Piala Dunia. Ini adalah hadiah terbesar bagi saya.”
Terdahulu Messi mengumumkan akan menyertai kelab Liga Bola Sepak Utama (MLS) Inter Miami selepas perjanjian dua tahun dengan Paris Saint-Germain (PSG) berakhir.