SHAH ALAM - Kerajaan negeri Selangor disarankan agar mewujudkan polisi khas kepada individu yang ingin mengambil kucing atau anjing sebagai haiwan peliharaan.
Aktivis haiwan jalanan, Mohd Noor Azhreen Shaari berkata, langkah itu lebih wajar berbanding menyekat atau melarang penjualannya supaya dapat mengelak penganiayaan serta eksploitasi haiwan.
"Anjing jalanan biasanya terdedah dengan penyakit sehingga mampu mengancam nyawa manusia dan mereka yang ingin mengambil haiwan jalanan akan mengeluarkan kos yang banyak antaranya perbelanjaan vaksin, proses memandulkan haiwan dan sebagainya.
"Jika dibeli di kedai haiwan terdapat eksploitasi di mana kucing-kucing ini dijual dengan harga yang mahal kerana mempunyai baka yang unik dan penjagaan yang rapi,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Pada 12 Jun lalu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baharu Selangor, Ng Sze Han berkata, terdapat rancangan untuk melarang semua kedai haiwan peliharaan di Selangor daripada menjual kucing dan anjing bagi menggalakkan orang ramai mengambil haiwan peliharaan dari pusat perlindungan.
Ia bertujuan membantu negara mengurangkan kadar pembuangan haiwan peliharaan dan sekali gus menyokong pengambilan haiwan di pusat perlindungan sedia ada tanpa perlu melibatkan sebarang kos pembelian yang tinggi.
Dalam pada itu, Mohd Noor Azhreen berkata, langkah larangan itu tidak mengurangkan sepenuhnya pembuangan haiwan tetapi kerajaan negeri perlu menyediakan rang undang-undang terhadap mereka yang mengabaikan haiwan peliharaan.
Tambahnya, kempen kesedaran secara menyeluruh adalah penting bagi memupuk masyarakat mencintai haiwan dan bukan melakukan pengabaian sehingga menganiaya kucing atau anjing.
"Kesedaran ini penting bagi mereka membuat pilihan sama ada ingin memiliki haiwan peliharaan dari kedai haiwan atau mengambil kucing dan anjing jalanan untuk dijaga,” katanya.