BAITULMAQDIS - PALESTIN. Pihak berkuasa Israel telah mengusir hampir 3,000 penduduk Palestin dari kediaman mereka di wilayah yang diduduki di Baitulmaqdis Timur antara tahun 2004 hingga 2019.
Pendedahan itu dibuat kumpulan hak asasi manusia Israel, B’Tselem dalam laporan terbaharunya minggu ini.
B’Tselem berkata, Majlis Perbandaran Baitulmaqdis merobohkan 830 unit kediaman dan 120 unit lagi dirobohkan oleh pemiliknya atas arahan pihak berkuasa Israel.
"Tindakan tidak berhati perut dan jahat ini telah menyebabkan 2,927 orang kehilangan tempat tinggal.
"Daripada jumlah tersebut seramai 1.574 adalah kanak-kanak,” jelas kumpulan itu.
Rejim Zionis kerap menggunakan alasan pembinaan tanpa permit untuk melaksanakan perobohan ke atas rumah penduduk Palestin secara berterusan.
Tindakan tersebut dilihat sebagai sebahagian daripada polisi Israel untuk menghalau keluar penduduk Palestin, sekali gus meluaskan kawasan penempatan haram Yahudi berdekatan.
Dalam perkembangan berkaitan, tentera Israel merampas sebuah khemah milik keluarga Palestin di perkampungan Susiya di Al-Khalil semalam.
Penyelaras Jawatankuasa Anti Penempatan, Rateb Al-Jabour berkata, ini adalah kali ketiga khemah milik keluarga Hussein Al-Nawajaa dirampas.
"Khemah tersebut dihuni 10 ahli keluarga Al-Najawaa dan disebabkan tindakan Israel mereka hilang tanpa berteduh.
"Ini adalah penindasan berterusan terhadap rakyat Palestin dalam usaha merampas tanah milik mereka,” katanya.
Justeru, Al-Jabour mendesak campur tangan komuniti antarabangsa bagi menghentikan konfrontasi berterusan Israel ke atas penduduk Palestin. - Agensi