Tak sempat seludup 1,814 kg minyak masak ke Thailand

Iklan
KPDN Kelantan menyita 1,814 kg minyak masak bersubsidi yang disyaki cuba diseludup ke Thailand dalam serbuan di Jalan Wakaf King, Palekbang, Tumpat pada Selasa.

TUMPAT - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menyita 1,814 kilogram (kg) minyak masak bersubsidi disyaki cuba diseludup ke Thailand dalam serbuan di Jalan Wakaf King, Palekbang, di sini pada Selasa.

Rampasan jam 12.55 tengah hari itu hasil maklumat risikan yang diperoleh anggota penguat kuasa berkait dengan kegiatan tersebut.

Iklan
Iklan

Pengarahnya, Azman Ismail berkata, sebelum itu pihaknya mengekori dua kenderaan jenis Perodua Myvi dan Viva dari arah Kubang Kerian menghala ke Tumpat yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.

"Setiba di lokasi, kita dapati beberapa lelaki sedang memunggah kotak-kotak tersebut.

Iklan

"Bagaimanapun, lelaki terbabit bertindak melarikan diri ke arah semak berhampiran selepas diserbu dan gagal dikesan oleh pasukan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Menurut beliau, pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan tersebut menemui kotak berisi minyak masak peket 1,814 kg.

Iklan

"Namun suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan pemilikan barang kawalan tersebut," katanya.

Azman memberitahu, suspek ditahan di bawah Seksyen 10 Akta Kawalan Bekalan 1961 untuk siasatan lanjut.

"Nilai rampasan barang kawalan yang disita termasuk kereta dianggarkan berjumlah RM39,547.50.

"Modus operandi bekalan diperoleh daripada luar Kelantan dan akan disimpan sementara di satu tempat sebelum dibawa ke kawasan sekitar sempadan negara.

"Jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta atau tiga tahun penjara atau kedua-dua sekali bagi individu dan RM2 juta bagi perbadanan bawah Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.