UJIAN besar menanti jurulatih berpengalaman, Luis de la Fuente untuk mengembalikan reputasi Sepanyol menjelang aksi separuh akhir Liga Negara-Negara menentang Itali di Enschede, pada Jumaat.
De la Fuente mengambil alih jawatan itu daripada Luis Enrigue secara mengejut Disember lalu selepas Sepanyol tersingkir daripada Piala Dunia Qatar 2022 setelah kalah kepada Maghribi pada pusingan 16 terakhir.
Biarpun menang 3-0 ke atas Norway yang tidak menurunkan bintang sensasi, Erling Haaland dan tewas 0-2 kepada Scotland, namun keputusan itu tidak menggembirakan penyokong Sepanyol.
Situasi tersebut mencetuskan spekulasi masa depan de la Fuente yang tidak mungkin bertahan lama jika Sepanyol gagal melepasi peringkat separuh akhir Liga Negara-Negara di Belanda.
Di sebalik kritikan penyokong dan media, barisan pemain mempertahankan jurulatih berusia 61 tahun itu yang menerapkan corak permainan hampir sama dengan Enrigue.
"Jurulatih bekerja dengan sangat baik, menerusi semangat dan harapan yang tinggi. Itulah perkara paling penting.
"Saya gemarkan suasana kerja dan hubungan baik dalam pasukan, ia sangat mengujakan. Dia bersama kami setiap saat dan sering membantu kami,” kata pemain pertahanan, Jesus Navas.
Penjaga gol, Unai Simon turut mempertahankan De la Fuente yang melatihnya ketika peringkat remaja.
"Dia jurulatih yang sangat baik, seorang motivator dan pengurus yang sangat baik,” kata pemain Athletic Bilbao itu.