Kontraktor perabot terlepas hukuman gantung

Iklan
Shee Kay bersalaman dengan peguam belanya, Mohd Daud selepas dilepas dan dibebaskan daripada tiga pertuduhan mengedar dadah di Mahkamah Tinggi, Johor Bahru, pada Rabu.

JOHOR BAHRU - Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu melepaskan serta membebaskan seorang kontraktor perabot dan renovasi daripada hukuman gantung atas tiga pertuduhan mengedar dadah pelbagai jenis, lima tahun lalu.

Tertuduh, Wong Shee Kay, 53, dibebaskan dan dilepaskan selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Iklan
Iklan

Hakim Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Datuk Abu Bakar Katar dalam penghakiman memaklumkan, pihkanya telah menimbangkan secara maksima semua keterangan yang dikemukakan oleh pendakwaan sepanjang perbicaraan dan menghalusi penghujahan bertulis atau lisan.

Menurut Abu Bakar, pendakwaan gagal membuktikan tertuduh mempunyai kawalan atau jagaan ke atas dadah yang dijumpai dalam bonet kereta nombor pendaftaran JQJ3692.

Iklan

"Fakta tertuduh dikatakan mempunyai kunci kereta belum mencukupi bagi mengaitkan pemilikan dadah dengan tertuduh tanpa keterangan yang lainnya.

"Pendakwaan gagal memanggil pemilik kereta bagi menutup kelompangan yang ada berkaitan akses kepada kereta tersebut.

Iklan

"Mahkamah ini berpendapat memandangkan pemilikan dadah gagal dibuktikan, anggapan pengedaran dadah di bawah Seksyen 37 (da) Akta Dadah berbahaya 1952 gagal diaktifkan," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, tertuduh dilepaskan dan dibebaskan daripada semua pertuduhan tanpa dipanggil untuk membela diri.

Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan itu kira-kira pukul 6.30 petang dalam sebuah kereta Perodua Kembara di hadapan sebuah kedai di Jalan Permatang 8, Taman Desa Cemerlang, Ulu Tiram di sini pada 31 Oktober 2018.

Dia didakwa di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta yang sama.

Seramai enam saksi pendakwaan telah dipanggil sepanjang prosiding kes itu berlangsung.

Kes pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd Ghazali manakala tertuduh diwakili peguam bela Mohd Daud Ismail dan Hang Lee Ying.