Peminat Messi di Indonesia mungkin 'kempunan'

Iklan
Messi berada di China dalam persediaan mengharungi aksi persahabatan menentang Australia di Beijing pada Khamis. Foto Agensi

PARA peminat bola sepak Indonesia mungkin kempunan untuk menyaksikan kelibat bintang sensasi, Lionel Messi menentang skuad Sang Garuda pada aksi persahabatan di negara itu, pada Isnin.

Media Argentina, Vermouth Deportivo melaporkan kapten Argentina itu tidak akan beraksi di Jakarta kerana mahu berehat sebelum menyertai Inter Miami di Amerika Syarikat.

Iklan
Iklan

Messi bersama rakan sepasukan berada di Beijing, China menjelang aksi persahabatan menentang Australia pada Khamis.

Kelibat Messi dapat dilihat dalam sesi latihan namun pemain berusia 35 tahun itu dilaporkan tidak akan terbang ke Indonesia selepas itu.

Iklan

"Skuad Albiceleste mula mempersiapkan diri untuk kempen kelayakan Piala Dunia 2026 selepas siri jelajah perlawanan persahabatan,” menurut laporan Vermouth Deportivo, Ahad lalu.

Kedua-dua aksi itu merupakan aksi persahabatan yang berada dalam kalendar Argentina pada bulan ini.

Iklan

Argentina dijangka membariskan kesebelasan utama untuk perlawanan menentang Australia dan tidak menurunkan skuad terkuat dalam aksi bertemu Indonesia.

Ahli jawatankuasa eksekutif Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Ahmad Riyadh bagaimanapun berkata, tiada pengesahan rasmi daripada Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) mengenai ketiadaan Messi.

"Semuanya berjalan lancar mengikut jadual. Setakat ini Messi dijadualkan tampil (aksi menentang Indonesia),” kata Riyadh.

Pemenang Ballon D'Or tujuh kali itu yang dianggap pemain terbaik dunia menjadi tarikan utama ribuan peminat di Indonesia yang sanggup membeli tiket sehingga mencecah AS$284 (RM1,312) sekeping untuk menyaksikan aksi itu.

Perlawanan persahabatan tersebut dijadualkan berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno (GBK) Jakarta.