Lebih RM37,000 diesel, peralatan seleweng disita

Iklan
Pemeriksaan dibuat ke atas dua buah kontena di kawasan perindustrian Bukit Kayu Hitam pada Selasa.

SUNGAI PETANI - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah menyita minyak diesel bersama peralatan yang disyaki digunakan untuk menyeleweng bernilai lebih RM37,000 di Bukit Kayu Hitam pada Selasa.

Pengarah KPDN Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, rampasan dibuat semasa serbuan Ops Tiris di sebuah stor tidak bertuan di Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam, Changlun kira-kira jam 11.30 pagi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati terdapat dua buah kontena berkunci dan tong fiber IBC yang diletakkan di atas tanah lapang dalam kawasan premis berkenaan.

"Pemeriksaan terhadap kontena pertama telah menemui sebuah skid tank berisi minyak diesel berserta seunit pam dispenser manakala kontena kedua mempunyai sebuah skid tank dan sebuah pam dispenser," katanya menerusi satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Jelasnya, antara barang-barang lain yang disita termasuk enam unit tangki fiber IBC, satu unit pam minyak dan tiga unit hos paip.

"Minyak diesel yang disita dianggarkan sebanyak 7,200 liter dengan nilai anggaran sebanyak RM15,480 manakala rampasan keseluruhan dianggarkan sebanyak kira-kira RM37,240," katanya.

Iklan

Menurutnya, kes disiasat bawah Seksyen 20 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dibaca bersama Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

"Sekiranya disabitkan kesalahan bawah akta ini boleh dikenakan denda (bagi individu) tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"Bagi kesalahan pertubuhan perbadanan, denda tidak melebihi RM2 juta boleh dikenakan jika sabit kesalahan," katanya.