JOHOR BAHRU - Demi kasih sayang kepada isteri tercinta, seorang lelaki sanggup berhenti kerja bagi menjaga isterinya yang bergantung kepada kerusi roda setelah dua jari kaki kanan dan kaki kirinya terpaksa dibuang akibat menghidap kencing manis.
Tinjauan Sinar Harian ke rumah pasangan berkenaan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Setia Indah di sini, pada Selasa mendapati Fadzil Ahmad, 51, bekas anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), Larkin, kini tidak lagi bekerja kerana menjaga isterinya, Fazlenyana Alias, 46.
Bagaimanapun, bapa kepada dua anak itu berhenti kerja setelah 21 tahun berkhidmat bagi menjaga insan tersayangnya itu.
"Selepas berhenti kerja saya dan isteri menjual makanan di kedai makan ibu mentua, namun terpaksa berhenti sejak dua tahun lepas kerana kos bahan mentah meningkat selain keadaan kesihatan isteri yang semakin merosot.
"Sekarang, saya dan isteri mengharapkan bantuan daripada pihak Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan... namun saya turut mengharapkan agar ada pihak yang dapat menawarkan pekerjaan kepada saya bagi membantu menambahkan pendapatan," katanya kepada pemberita sempena kunjungan pihak Econsave Cash and Carry ke rumahnya pada Selasa.
Kunjungan pihak Econsave Cash and Carry yang diketuai Pengurus Besarnya, Mas Imran Adam itu turut disertai dengan sumbangan barangan keperluan asas kepada pasangan berkenaan.
Dalam masa sama, isterinya Fazlenyana turut berharap agar dapat diberikan peluang untuk bekerja.
Katanya, biarpun berkerusi roda, dia masih mampu untuk memasak apatah lagi dengan keadaan dapur yang telah diubah suai oleh suaminya.
"Kalau ikutkan, saya masih mampu memasak walaupun keadaan saya macam ni, dulu ada kedai tapi bila dah jadi macam ni, income kami pun terjejas sampaikan terpaksa ikat perut dan hanya makan bubur dan sayur kangkung yang dikutip dari tepi jalan.
"Bantuan RM300 tu memang tak cukuplah... sebab banyak nak beli macam pampers (lampin pakai buang), dan follow up di HSI (Hospital Sultan Ismail).. Anak perempuan saya pun masih bersekolah di tingkatkan dua di SM Tun Fatimah dan anak lelaki saya kini berkursus (bomba bantuan), di Terengganu," katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar Pasaraya Econsave Cash And Carry Mas Imran Adam mengharapkan agar bantuan yang disampaikan dapat membantu meringankan beban pasangan berkenaan.
"Kita memberikan bantuan bernilai RM1,000 terdiri daripada pelbagai barangan keperluan asas dan agar bantuan itu dapat membantu meringankan beban mereka," katanya.