Caj hospital kerajaan, klinik kesihatan disemak semula

Iklan
Gambar hiasan.

SHAH ALAM - Struktur fi rendah yang dikenakan di klinik, hospital dan fasiliti kesihatan awam bakal dikaji dan disemak semula agar lebih sepadan dengan kemampuan membayar.

Berdasarkan dokumen Kertas Putih Kesihatan, reformasi berkenaan dicadang untuk menyasarkan subsidi penjagaan kesihatan dengan lebih baik.

Iklan
Iklan

Selain itu Kertas Putih berkenaan menjelaskan, langkah tersebut bagi memastikan kesaksamaan dalam pembiayaan kesihatan dan isi rumah berpendapatan rendah mampu membayar perkhidmatan penjagaan kesihatan.

"Kadar fi rendah yang dikenakan di fasiliti penjagaan kesihatan awam adalah antara ciri sistem kesihatan negara yang amat dihargai rakyat, yang mana ia membolehkan akses kepada sistem kesihatan pada kos berpatutan.

Iklan

"Namun struktur fi yang sama untuk semua telah menyumbang kepada ketidaksamaan besar antara bayaran yang dikenakan berbanding kos penyediaan dan keupayaan untuk membayar, terutamanya dalam kalangan isi rumah berpendapatan tinggi.

"Untuk menambah baik kemampanan pembiayaan penjagaan kesihatan awam, kadar fi yang dikenakan di fasiliti penjagaan kesihatan awam akan dikaji semula agar lebih sepadan dengan tahap kemampuan," menurut dokumen berkenaan.

Iklan

Dokumen Kertas Putih setebal 57 halaman itu turut mencadangkan jaringan keselamatan isi rumah berpendapatan rendah terus dikekalkan.

Justeru jelasnya, opsyen skim caruman progresif akan dikaji untuk mempelbagaikan sumber bagi memastikan kemampanan pembiayaan kesihatan.

"Satu pakej manfaat kesihatan yang menyenaraikan perkhidmatan kesihatan dan ubat-ubatan boleh diakses oleh rakyat, sama ada di sektor awam atau swasta dengan kadar fi berpatutan akan dibangunkan.

"Pakej manfaat itu akan dibiayai melalui dana kesihatan khusus di bawah pengurusan Pembeli Strategik bukan berasaskan keuntungan yang ditadbir melalui pelaporan dan pengawasan berkesan.

"Usaha ini meningkatkan perkongsian risiko kesihatan dan kewangan dalam kalangan penduduk, di samping mengurangkan perbelanjaan duit poket sendiri dan perbelanjaan yang memudaratkan," menurut dokumen berkenaan.

Reformasi sistem kesihatan yang dicadangkan dalam Kertas Putih Kesihatan bersifat jangka panjang yang disesuaikan dengan maklumat dan teknologi baharu serta kaedah atau model lebih baik.

Oleh yang demikian, strategi yang dicadang dalam dokumen berkenaan boleh ditambah baik semasa tempoh reformasi atas saranan kerajaan, badan pemantauan reformasi atau Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen selepas perbahasan dan perbincangan di Parlimen.