SUNGAI CHOH - Projek Perumahan Kampung Koskan Tambahan yang terbengkalai sejak 19 tahun tahun lalu perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan negeri.
Justeru, jawatankuasa bertindak projek perumahan itu menggesa kerajaan negeri membina kemudahan asas di kawasan berkenaan.
Pengerusi jawatankuasa, Leftenan Kolonel (B) Abdul Aziz Mahmud berkata, perumahan 42 unit itu 90 peratus siap dibina namun terbengkalai selepas pihak pemaju dikatakan muflis.
Menurutnya, projek pembinaan yang bermula pada tahun 2000 itu dijual dengan harga jualan RM97,500 seunit melalui pinjaman bank dan bayaran tunai.
"Ramai pembeli yang sudah berusia lebih 55 tahun dengan tempoh bayaran balik pinjaman selama lebih 20 tahun.
"Lima pembeli telah meninggal dunia tetapi rumah ini belum boleh diduduki kerana tiada kemudahan asas sempurna seperti air, elektrik, jalan masuk dan sistem perparitan.
"Sebanyak 30 rumah mempunyai geran selepas membayar premium namun selebihnya gagal kerana pihak pemaju tidak menyerahkan bayaran itu kepada Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor," katanya kepada pemberita pada perjumpaan jawatankuasa bertindak itu bersama Ahli Parlimen Hulu Selangor, June Leow Hsiad Hui semalam.
Katanya, pembinaan projek berkenaan hanya berjalan lancar pada dua tahun pertama sebelum tergendala dengan pelbagai masalah membabitkan pemaju.
Ahli jawatankuasa, Jayaseelan Anthony memberitahu, pembeli sedia mengeluarkan kos sendiri bagi menyiapkan rumah masing-masing namun tetap berharap kerajaan negeri membantu membina kemudahan berkaitan.
Menurutnya, projek perumahan tersebut tidak sewajarnya terbiar tanpa pembelaan kerana sehingga kini pembeli menanggung hutang pinjaman bank.
"Masing-masing membayar pinjaman antara RM500 hingga RM600 sebulan dan difahamkan kerajaan negeri sudah meluluskan peruntukan bagi pembinaan infrastruktur.
"Jika sudah ada kemudahan asas, kami dapat siapkan rumah dan mengelakkan struktur bangunan rosak atau menjadi mangsa vandalisme atau kecurian," katanya.
Jayaseelan berkata, projek perumahan itu antara projek terbengkalai yang mendapat perhatian kerajaan negeri seperti yang dinyatakan dalam surat maklum balas dari Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor pada 8 Februari lalu.
Pembeli mahu kemudahan asas
Seorang pembeli, Mohd Abdullah Gopi, 84, berkata dia membeli rumah tersebut untuk isterinya dengan deposit RM5,000 dan premium tanah sebanyak RM3,000.
Menurutnya, baki bayaran pembelian rumah dibuat secara tunai menggunakan wang simpanan sendiri dan berjaya dilunaskan kepada pihak pemaju.
"Tapi saya kecewa apabila pihak pemaju muflis dan projek ini terbengkalai. Rumah ini adalah hadiah untuk isteri.
"Dulu saya ada perniagaan jual beli kereta dan bayar duit beli rumah secara berperingkat mengikut ketetapan pihak pemaju tanpa gagal.
"Saya dan isteri masing-masing sudah berusia warga emas seperti pembeli lain. Kami mahu lihat perumahan ini boleh didiami," katanya.
Abdul Manap Hamzah, 68, pula memberitahu, dia membeli rumah itu ketika masih berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui pinjaman peribadi dengan pihak bank pada kadar bayaran balik sebanyak RM550 sebulan sehingga sekarang.
"Saya memang berhasrat untuk tinggal di sini selepas bersara tetapi terpaksa mencari rumah lain kerana projek perumahan ini gagal disiapkan.
"Saya tiada halangan untuk keluarkan kos sendiri bagi menyiapkan rumah terbengkalai ini jika kemudahan asas disediakan. Jika tidak kawasan ini akan terbiar dan ditumbuhi semak-samun," katanya.