PELUMBA elit negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom berazam mengakhiri penantian pingat emas pada Kejohanan Lumba Basikal Trek Asia (ACC) 2023 di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan.
Selepas terpaksa berpuas hati dengan tiga kilauan perak dan dua gangsa dalam dua edisi ACC sebelum ini, pelumba kelahiran Muar, Johor itu mahu menoktahkan gelaran Asia di laman sendiri.
"Saya memang mengejar gelaran ini (Asia) kerana terlepas banyak kali... ada juga di garisan penamat beberapa milimeter (dengan pemenang pingat emas).
"Kalau kita berada dalam keadaan baik sekalipun, apa sahaja boleh berlaku dan tak boleh memandang rendah lawan kita. Jadi saya harap semua berjalan lancar.
"Di peringkat Asia ini, mana-mana pelumba mampu mencipta kejutan dengan memintas pada saat-saat terakhir,” katanya ketika ditemui pemberita di Velodrom Nilai pada Rabu.
Untuk rekod, Shah Firdaus meraih pingat perak dalam acara pecut individu pada edisi 2019 di Jakarta, Indonesia sebelum menyambar dua lagi perak - keirin dan pecut berpasukan pada ACC 2022 di New Delhi, India.
Malah, Shah Firdaus yang membuat penampilan pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 turut berjaya menggenggam pingat gangsa dalam acara keirin dan pecut berpasukan di pentas ACC 2019.
Dalam pada itu, Shah Firdaus berkata, ACC kali ini menjadi platform terbaik baginya untuk mengumpul seberapa banyak mata kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024.
"Untuk (acara) pecut, sekurang-kurangnya saya perlu layak ke suku akhir, manakala dalam keirin, saya dan Datuk Azizulhasni (Awang) perlu layak ke final,” ujarnya.
Shah Firdaus dan Azizulhasni yang menjadi sandaran utama buat skuad berbasikal negara meraih emas dijadualkan beraksi dalam acara keirin dan pecut individu yang dijadualkan pada Khamis, Jumaat dan Ahad ini.