Tuntutan Sulu: Tiada bukti kerajaan Filipina terlibat - PM

Iklan
Anwar pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Rabu. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Kerajaan Filipina didapati tidak terlibat dengan sebarang tuntutan kumpulan yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu terhadap Sabah.

Bercakap pada sesi penerangan mengenai status terkini tuntutan tersebut di Dewan Rakyat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, sehingga kini tiada sebarang bukti untuk mengaitkan penglibatan kerajaan negara itu.

Iklan
Iklan

"Tidak ada bukti sama sekali ada campur tangan kerajaan Filipina dalam soal tuntutan (kumpulan waris Kesultanan Sulu) ini.

"Jadi, saya tidak mahu menjatuhkan hukuman atau menyinggung (kerajaan Filipina) dan saya juga telah dua kali adakan perundingan dengan Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Khlir Mohd Nor (PN - Ketereh) yang membangkitkan persoalan sama ada kerajaan bersetuju tuntutan waris Kesultanan Sulu itu mempunyai kaitan dengan kerajaan Filipina.

Sementara itu, dalam sesi penerangan mengenai status terkini tuntutan lapan warga Filipina yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu tersebut, Anwar sekali lagi menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak termasuk rakyat negara ini jika didapati membantu kumpulan berkenaan.

Iklan

Ujarnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah pun memulakan siasatan terhadap pihak yang membuat tuntutan, penimbang tara, peguam serta pihak-pihak lain yang berkaitan di bawah seksyen 124K Kanun Keseksaan bagi kesalahan sabotaj.

"Di sini, saya juga ingin menegaskan bahawa kerajaaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan jenayah menurut undang-undang yang sedang berkuat kuasa terhadap mana-mana pihak.

"Ia termasuk warganegara Malaysia yang membelakangkan kepentingan dan keselamatan negara dengan memberikan sebarang sokongan, bantuan secara langsung mahupun tidak langsung dan bersekongkol dengan pihak yang membuat tuntutan.

Sebelum ini media melaporkan kerajaan sedang menyiasat kemungkinan wujud 'tali barut' dalam kalangan rakyat negara ini yang membantu dalam kes kumpulan yang mendakwa waris Kesultanan Sulu.

ARTIKEL BERKAITAN:

Heret dalang di sebalik tuntutan waris Sulu ke muka pengadilan

Tuntutan Sulu: Rakyat sokong usaha kerajaan pertahan kedaulatan

Tuntutan Sulu: Kerajaan ambil segala tindakan pertahan kedaulatan negara

Tuntutan waris Sulu: 'Biar orang lain jawab' - Anwar

Tuntutan sulu: Tindakan undang-undang terhadap pihak bersekongkol