BATU KAWAN - Seorang anggota Polis Bantuan maut selepas dilanggar ketika membantu kenderaan rosak di Kilometer 11.6 Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dari arah Batu Kawan menghala ke Batu Maung, pada Rabu.
Dalam kejadian jam 8.30 pagi itu, mangsa, Musyiri Bakar, 49, yang bertugas sebagai anggota Polis Bantuan Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di anggota badan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan JKSB, mangsa berada di kawasan berkenaan untuk membantu seorang pemandu kenderaan jenis Perodua Viva yang mengalami kerosakan di tepi jalan.
"Sebuah lori lima tan dipercayai hilang kawalan dan melanggar kenderaan peronda jenis Toyota Hilux sehingga menyebabkan mangsa yang berada di hadapan kenderaan itu tercampak ke lorong motosikal.
"Mangsa kemudiannya dilanggar sebuah motosikal yang melalui laluan terbabit," katanya dalam kenyataan, di sini pada Rabu.
Kenyataan JKSB itu memaklumkan, penunggang motosikal dilaporkan cedera ringan manakala pemandu lori dan pemandu Perodua Viva tidak mengalami sebarang kecederaan.
Difahamkan, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Bakap untuk bedah siasat.
Jenazah mangsa akan dibawa ke Masjid Jamek Tasek Junjung di Simpang Ampat untuk disolatkan sebelum dikebumikan.