Nak hantar nasi ayam, terkejut jumpa biras tidak bernyawa

Iklan
Anggota polis mengusung mayat seorang wanita yang ditemui tidak bernyawa dalam rumahnya di Pekan Ayer Hitam, di sini, pada Rabu. (Gambar kecil: Ruhaina)

JERLUN - Seorang suri rumah terkejut apabila menemui birasnya dalam keadaan tidak bernyawa di rumahnya di Pekan Ayer Hitam, di sini, pada Rabu.

Dalam kejadian jam 12.20 tengahari itu, Nor Shahani Safarina Ibrahim, 42, ditemui terbaring di tepi katil di kediaman tersebut.

Iklan
Iklan

Ruhaina Radzali, 41, berkata, dia menemui mayat wanita itu ketika mahu menghantar nasi ayam kepada mangsa.

"Apabila tiba di kawasan rumah itu, suami mangsa berusia 38 tahun memaklumkan isterinya telah meninggal dunia.

Iklan

"Saya terus masuk ke dalam bilik, saya ada panggil Nor Shahani namun dia tidak memberikan reaksi dan apabila dipegang badannya telah sejuk," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di Pekan Ayer Hitam, di sini, pada Rabu.

Ruhaina berkata, dia yang ketakutan terus berlari ke klinik kesihatan berhampiran dan pegawai perubatan kemudian mengesahkan Nor Shahani telah meninggal dunia.

Iklan

Menurutnya, dia selalu menghantar makanan yang dimasaknya kepada keluarga birasnya disebabkan mereka sekeluarga hidup susah.

Tambah Ruhaina lagi, mangsa merupakan orang kurang upaya (OKU) lembam, manakala anak tunggal mereka yang berusia sembilan tahun pula menghidap autisme.

"Suami mangsa seakan-akan mengalami tekanan perasaan sejak setahun lalu selepas berhenti kerja. Dia kini hanya keluar mencari kotak dan botol untuk dijual," katanya.

Ruhaina berkata, dia bertemu dengan mangsa kali terakhir dua hari lepas dan birasnya tidak pernah memberitahu tentang masalah peribadinya.

Sementara itu, Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Beliau memaklumkan, setakat ini kes terbabit diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Ujarnya, setakat ini pihaknya menahan suami mangsa berusia 38 tahun untuk membantu siasatan.

Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk tindakan lanjut.