TRIO pecut berpasukan lelaki negara yang dibarisi pelumba muda menampilkan kayuhan bertenaga apabila menyambar pingat gangsa acara gangsa pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2023 di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan pada Rabu.
Muhammad Fadhil Mohd Zonis, Muhammad Ridwan Shahrom dan Umar Hasbullah mencatatkan 44.363 saat (s) untuk trio mengatasi Kazakhstan yang dibarisi Sergey Ponoryov, Dmitriy Rezanov dan Kirill Kurdidi (44.488s) pada penentuan pingat gangsa.
Jepun yang diwakili Kaiya Ota, Yuta Obara dan Yoshitaku Nagasako dengan catatan 42.987s berjaya mempertahankan pingat emas dalam acara tersebut selepas menewaskan Guo Shuai, Zhou Yu dan Xue Chenxi dari China (43.619s).
Terdahulu, pada pusingan kelayakan, skuad negara terlepas peluang ke final selepas menduduki tempat ketiga dengan catatan 44.728s di belakang Jepun (43.219s) dan China (44.014s), manakala Kazakhstan berada pada kedudukan keempat dengan 44.739s.
"Saya bangga melihat kepada keputusan dan rakan sepasukan, kerana semua pelumba berjaya memberikan prestasi yang diinginkan. Kita rasa ada peluang untuk cabar pingat di Sukan Asia nanti," kata Muhammad Fadhil kepada pemberita.
Sementara itu, skuad wanita elit yang terdiri daripada Yuliya Golublova, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dan Nurul Aliana Syafika Azizan terlepas pingat gangsa kepada Korea Selatan.
Walaupun skuad negara berjaya mencatatkan rekod kebangsaan dengan melakukan 49.204s, namun ia tidak cukup untuk mengatasi juara, bertahan Korea Selatan yang menurunkan Hwang Hyeonseo, Lee Hyejin dan Cho Sunyoung yang mencatatkan 48.847s.
Pasukan remaja wanita dibarisi Amber Yong, Nur Alyssa Mohd Farid, Nurul Nabilah Mohd Asri dan Ameera Alya Zahirrudin juga terlepas gangsa apabila kemenangan mereka dibatalkan akibat kesilapan teknikal, sekali gus memberi pingat itu kepada skuad Taiwan - Lin Jhih Yan, Li Ya Xun dan Lee Chai Roug (53.496s).
Sementara itu, pasukan berbasikal trek para Malaysia berjaya menghadiahkan sebutir emas dan satu pingat perak.
Dalam acara pecut berpasukan tandem berpasukan campuran, Mohd Khairul Hazwan Wahab dan Nur Suraiya Muhammad Zamri yang masing-masing dibantu jurupandu Muhammad Khairul Adha Rasol dan Farina Shawati Mohd Adnan, mencatatkan 51.526s untuk meraih emas.
Dalam acara pecut berpasukan lelaki, Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin, Zuhairi Ahmad Tarmizi dan Muhammad Hafiz Jamali yang mencatatkan 51.697s, terlepas emas kepada Li Zhangyu, Bunyod Khayitmakhammadov dan Lai Shanzhang dari China (49.216s).