ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belantek, Datuk Mohd Isa Shafie meninggal dunia pada 11.23 malam Rabu di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.
Perkhabaran sedih itu dikongsikan Menteri Besar Kedah yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Sik, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di laman sosial Facebook miliknya.
Solat jenazah Allahyarham Mohd Isa, 69, akan diadakan di Surau Al-Badru, Kampung Jering, di kariah Chepir, Sik pada jam 11 pagi Khamis.
Awal Mei lalu, Mohd Isa dilaporkan kritikal dan dirawat di Unit Rawatan Rapi HSAH selepas dimasukkan ke Hospital Sik kerana mengalami jangkitan kuman pada jantung, paru-paru dan buah pinggang.
Allahyarham yang merupakan ADUN Belantek selama tiga penggal menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam saingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan majoriti 2,574 undi.
Muhammad Sanusi turut berkongsi perjalanan politik Allahyarham yang disifatkan kehilangan besar buat Pas.
"Selepas meletakkan jawatan sebagai pegawai bomba lapangan terbang untuk bertanding dalam PRU10 pada 1999, kebolehan beliau banyak diasah bersama Pas dan kerjayanya,” katanya.
Menurutnya, Allahyarham aktif dalam parti sebagai penceramah sejak 1970-an dan sering berulang-alik antara Sik dan Pulau Pinang setiap kali diadakan pilihan raya.
"Allahyarham kaya dengan kisah orang dulu-dulu yang berjuang dan sangat bermotivasi. Pernah dilantik Yang DiPertua Pas kawasan Sik selain Timbalan Pesuruhjaya Pas Kedah sewaktu Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak menjawat Pesuruhjaya Pas Kedah.
"Pas minta saya bertanding di DUN Belantek menggantikan beliau dalam PRU12 (2008), setelah dua penggal beliau berkhidmat, malangnya saya tewas kepada calon BN (252 undi) akibat kemasukan undi tentera secara besar-besaran (1,031 pengundi) ke DUN berkenaan menjelang DUN dan Parlimen dibubarkan,” ujarnya.
Muhammad Sanusi berkata, Allahyarham kembali bertanding setelah diarahkan parti walaupun keuzuran pada 2018.
"Allahyarham tempat saya belajar, bertanya pandangan, meminta nasihat, menimba ilmu dan petua. Beliau sering berpesan pelbagai perkara bila bersua muka dan sangat mengambil berat tentang saya,” katanya dan menyifatkan Allahyarham sebagai guru dan teman suka duka dalam perjuangan politik.
Muhammad Sanusi turut menyifatkan Allahyarham sebagai pemimpin yang memiliki disiplin yang tinggi dan teguh pendirian.
"Tidak ada sesiapa boleh mengubah pendiriannya dan sentiasa berpegang kepada keputusan parti dan pimpinan, seorang yang taat sewaktu orang lain ‘longgar’.
"Allahyarham sering membangkitkan isu kemiskinan dan kesukaran penduduk kampung sejak 1999 hinggalah dalam Sidang DUN terakhir beliau pada Mac lalu,” ujarnya.