KUALA LUMPUR - Bantuan segera bagi membantu penoreh serta pekebun kecil getah dalam menangani musim panas antara isu yang akan dibincangkan di hari terakhir sidang Dewan Rakyat pada Khamis.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, soalan itu akan dikemukakan Datuk Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) kepada Kementerian Perladangan dan Komoditi pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT).
Turut menjadi tumpuan ialah pertanyaan Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) yang ingin tahu sama ada kerajaan mempunyai langkah drastik untuk meningkatkan pengeluaran beras tempatan, susulan tindakan Vietnam yang mengambil langkah mengurangkan eksport beras mereka.
Isu El Nino dan impaknya terhadap bekalan makanan negara juga akan menjadi topik perbincangan hari ini, daripada soalan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) ketika sesi soal jawab yang mahu tahu langkah yang sedang direncana kerajaan bagi menangani isu itu.
Sementara itu, Cha Kee Chin (PH-Rasah) pula mahu tahu langkah kementerian dalam meningkatkan keyakinan rakyat Malaysia terhadap pengambilan dos penggalak kedua bagi mengelakkan pembaziran vaksin Covid-19.
Selain itu, Kertas Putih Kesihatan dijangka dibentang hari ini selepas ia tidak sempat dibentang ketika sidang Dewan Rakyat pada Rabu.
Kertas Putih Kesihatan itu yang merangkumi dasar komprehensif dalam mereformasikan sistem kesihatan untuk dilaksana secara berperingkat selama 15 tahun dijadual dikemukakan Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa selepas beliau membentangkan Rang Undang-Undang Makanan (Pindaan) 2023 untuk bacaan kali pertama pada Khamis.
Persidangan Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Kedua, Penggal Kedua Parlimen Ke-15 (2023) berakhir pada Khamis setelah bersidang selama 11 hari bermula 22 Mei lepas. - Bernama