Angka korban serangan pengganas Christchurch meningkat 51 orang

Iklan

WELLINGTON - Seorang rakyat Turki yang ditembak dalam serangan pengganas ke atas dua masjid di Christchurch pada 15 Mac telah meninggal dunia di sebuah hospital, kata Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern pada awal pagi Jumaat, lapor agensi berita China Xinhua.

"Ucapan setinggi-tinggi takziah saya kepada keluarga dan komuniti mangsa yang meninggal dunia semalam di Hospital Christchurch," kata Ardern dalam satu kenyataan.

Iklan
Iklan

"Berita sedih ini akan dirasai di seluruh Turk dan New Zealand," katanya sambil menambah bahawa mangsa telah ditempatkan di unit rawatan rapi sejak serangan itu.

"Kita semua mengharapkan yang terbaik, bagaimanapun kini beliau telah meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya dalam insiden tembakan di Masjid Al Noor," kata perdana menteri itu.

Iklan

Ardern mengucapkan terima kasih kepada semua kakitangan perubatan yang merawat dan menjaga 49 lelaki, wanita dan kanak-kanak yang telah ditembak serta cedera dalam serangan itu sebelum dibawa ke hospital.

Sembilan lagi yang ditembak pengganas dalam serangan itu masih berada di hospital dan mereka dilaporkan dalam keadaan stabil, kata Ardern sambil menambah"sebagai sebuah negara, kita mengharapkan dan berdoa agar mereka cepat sembuh." -Bernama

Iklan