18 jam sesat, tak jumpa jalan keluar

Iklan
Suasana ketika operasi mencari orang hilang dilakukan. (Gambar kecil: Chang Hook)

JEMPOL - Seorang kaki pancing sesat dalam kebun kelapa sawit lebih kurang 18 jam selepas usaha mencari jalan keluar gagal dalam kejadian Selasa lalu.

Ketua Polis daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, lelaki berusia 42 tahun itu pada awalnya keluar memancing pada jam 1.30 pagi di kawasan sungai berhampiran rumahnya iaitu berdekatan pam air tempatnya bekerja.

Iklan
Iklan

"Bagaimana pun sehingga jam 1.50 petang lelaki berkenaan masih belum pulang menyebabkan isterinya membuat laporan polis di Balai Polis Ladang Geddes pada hari sama.

"Usaha mengesannya telah dilakukan bersama pihak Bomba dan Penyelamat Daerah Jempol, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Jempol, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan penduduk kampung," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iklan

Katanya, terdahulu pasukan bomba telah melakukan usaha mengesan dan membuat pencarian di kawasan sungai. Pencarian melalui sungai sepanjang lebih kurang tiga kilometer tetapi gagal menemui orang hilang.

"Operasi mencari orang hilang masih diteruskan dengan human chain di air dan di darat oleh polis serta bomba. Semasa gerakan mencari dilaksanakan, beberapa barang milik lelaki tersebut seperti alat memancing dan pemetik api telah ditemui dan disahkan oleh keluarga," katanya.

Iklan

Mengulas lanjut, Chang Hook berkata, lelaki berkenaan kemudiannya ditemui kira-kira jam 6.30 petang di simpang tiga dalam sebuah kebun kelapa sawit di sini.

"Hasil temu bual mendapati dia telah menyeberang sungai bagi menukar tempat memancing. Semasa dalam perjalanan dia tersesat, namun dalam masa sama tidak dapat menghubungi keluarganya kerana tidak membawa telefon bimbit.

"Dia cuba mencari jalan keluar dengan berlegar-legar dalam kebun sawit itu sehingga hari siang. Hampir satu jam berjalan kaki, dia kemudiannya terdengar enjin motosikal dan mengikuti bunyi tersebut sehingga menemui jalan simpang tiga yang menuju ke rumahnya," katanya.

Jelasnya, dia telah meminta bantuan penunggang motosikal tersebut untuk memaklumkan kepada keluarganya dan operasi pencarian orang hilang ditamatkan pada jam 6.48 petang.