Tiada percanggahan angka pelajar tidak ambil SPM - Hui Ying

Iklan
Gambar kiri: Hui Ying. Gambar kanan: Radzi dakwa kenyataan Perdana Menteri mengenai 30,000 pelajar tidak menduduki SPM pada 2022 bercanggah dengan jumlah yang dilaporkan Menteri Pendidikan.

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan mengesahkan hampir 30,000 direkodkan tidak menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 termasuk calon yang berdaftar mengambil satu mata pelajaran dalam peperiksaan awam itu.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, jumlah yang tepat adalah seramai 29,663 daripada 388,832 tidak mengambil peperiksaan berkenaan tahun lalu.

Iklan
Iklan

"Tiada percanggahan angka yang disebut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana ia menyenaraikan jumlah keseluruhan yang tidak mengambil peperiksaan termasuk calon mendaftar satu mata pelajaran sahaja.

"Apa yang dinyatakan bekas Menteri Pendidikan (Datuk Dr Radzi Jidin) mengenai hanya 14,858 atau 3.8 peratus calon tidak hadir peperiksaan adalah mereka berdaftar mengambil enam mata pelajaran termasuk calon persendirian," katanya pada sidang Dewan Rakyat pada Khamis.

Iklan

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Roslan Hashim (PN-Kulim-Bandar Baharu) yang ingin mengetahui percanggahan angka keciciran pelajar yang menduduki SPM 2022 yang disenaraikan Anwar dan Radzi.

Sebelum ini media melaporkan, Radzi yang juga Ahli Parlimen Putrajaya mendakwa kenyataan Perdana Menteri mengenai 30,000 pelajar tidak menduduki SPM pada 2022 bercanggah dengan jumlah yang dilaporkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Iklan

Dalam pada itu Hui Ying berkata, kementerian berusaha menambah baik sistem pengajaran serta pembelajaran berasaskan teknologi dan digital untuk memenuhi keperluan pendidikan masa hadapan.

Oleh yang demikian beliau menjelaskan, bantuan kepada golongan guru diteruskan dengan penyediaan 50,000 komputer riba kepada sekolah dan institusi pendidikan bagi menyokong peranan mereka dalam mendidik murid-murid.

"Selain itu, guru diberi latihan dan bimbingan berterusan dalam mendukung pelaksanaan dasar pendidikan semasa termasuk meningkatkan ilmu dan kemahiran dalam aspek pendigitalan pendidikan bagi mendepani pendidikan abad ke-21.

"Berdasarkan statistik dalam Sistem Pengurusan Latihan Kementerian Pendidikan Malaysia (SPLKPM) sehingga 31 Mei 2023, sebanyak 1,789 latihan berkaitan digital atau ICT telah dilaksanakan," katanya.