KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) memberi jaminan akan terus menyokong jaguh perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia.
Timbalan Menterinya Adam Adli Abd Halim berkata, kementerian memahami situasi dialami Zii Jia ketika ini kerana sudah menjadi lumrah bagi setiap atlet yang mempunyai pasang surutnya.
"Saya percaya Zii Jia sebagai atlet yang banyak berjuang dalam kejohanan dan kebiasaannya (kalah menang) itu cabaran serta asam garam sebagai atlet.
"Bagaimanapun, kita yakin Zii Jia ada semangat kuat. Kita nak lihat Zii Jia bangkit sebagai salah seorang yang kita sandarkan harapan untuk ke Sukan Olimpik 2024 nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pengumuman penajaan oleh Co-opbank Pertama (CBP) dan pelantikan duta Kuala Lumpur Golf and Country Club kepada dua pemain boling wanita negara Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman dan Natasha Roslan di sini pada Khamis.
Selepas disingkirkan pemain India Lakshya Sen 21-17, 21-13 pada pusingan pembukaan Terbuka Indonesia 2023 semalam, pemain ranking ke-11 dunia itu mengambil keputusan untuk berehat sementara waktu bagi mendapatkan semula motivasi, susulan prestasi merudum dipamerkannya sejak akhir-akhir ini.
Ditanya sama ada Zii Jia berdepan risiko digugurkan daripada Road to Gold (RTG), Adam Adli berkata pemain kelahiran Kedah itu akan diberi ruang untuk kekal dalam program tersebut dan pastinya dibantu jawatankuasa RTG bagi mereka meneliti segala kesulitan dihadapi juara All England 2021 itu.
Beliau berkata, kesemua permasalahan lain dihadapi atlet tersenarai dalam program bertujuan memburu emas Olimpik sulung negara termasuk bagi mereka yang terkeluar daripada ranking sepuluh terbaik juga akan dibincangkan dalam satu mesyuarat RTG minggu depan.
Sebelum ini, jawatankuasa RTG menetapkan dua kriteria utama bagi atlet tersenarai dalam program tersebut dan berpotensi menyumbang emas pertama negara di Sukan Olimpik 2024 iaitu pemenang pingat temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 selain tersenarai dalam kedudukan 10 terbaik dunia.
Bagaimanapun, Zii Jia kini sudah terkeluar daripada senarai kelompok 10 pemain terbaik dunia manakala juara Terbuka Perancis 2022 Pearly Tan-M. Thinaah berada dalam kedudukan ke-12 beregu wanita dunia dan beregu campuran profesional Tan Kian Meng-Lai Pei Jing pula jatuh ke tangga ke-18.
Ketiga-tiga wakil badminton negara itu merupakan sebahagian daripada 15 atlet terpilih ke dalam RTG April lepas yang turut melibatkan jaguh berbasikal trek Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan ratu terjun Datuk Pandelela Rinong.
Sementara itu, Adam Adli berharap agar penajaan CBP kepada Siti Safiyah Amirah dan Natasha akan mencetus inspirasi kepada syarikat korporat mahupun pihak luar untuk menaja atlet serta turut serta membangunkan industri sukan tanah air. - Bernama.