SEREMBAN - Pelakon dan pengarah, Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri tidak berhasrat mengikut jejak langkah Datuk Seri Eizlan Yusof untuk menyertai Pas.
Bagaimanapun Ahmad Idham berkata, beliau menghormati keputusan teman baiknya itu yang sebelum ini sama-sama menyertai Gerakan Tanah Air (GTA).
"Sebelum dia (Eizlan) buat keputusan sertai Pas, dia ada maklumkan kepada saya dan saya hormatinya.
"Tapi saya sendiri buat masa ini lebih selesa bergerak di bawah gerakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Seperti yang saya beritahu sebelum ini perjuangan utama saya ialah untuk membantu komuniti anak-anak istimewa," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Bekas calon GTA Parlimen Port Dickson pada Pilihan Raya Umum ke-15 itu turut menyangkal dakwaan bahawa kemasukan Eizlan ke dalam Pas kerana mahu menjadi calon.
Beliau berkata, tidak sepatutnya mereka yang secara tiba-tiba menyertai mana-mana parti dituduh untuk menjadi calon.
"Bagi saya tak relevan kata Datuk Eizlan masuk Pas sebab semata-mata nak jadi calon.
"Salah satu alasannya yang dia beritahu saya dia nampak perjuangan Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa dan mahu sama-sama berjuang dengan bekas pemimpin UMNO itu," katanya.
Sebelum ini Eizlan dilaporkan berkata, keputusan untuk menyertai Pas adalah atas dasar keyakinan terhadap wadah perjuangan parti itu.
"Saya sertai Pas kerana saya percaya perjuangan yang dibawa Pas bukan sekadar retorik dan parti ini bukan seperti yang digembar-gemburkan pihak lawan," katanya.
Jelas Eizlan yang juga Ketua Penerangan MN Selangor, pengalaman politik lebih 50 tahun Annuar memberi aspirasi dan inspirasi kepadanya untuk sama-sama berjuang.