KUALA LUMPUR – [DIKEMASKINI] Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu bahawa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membuat banyak serangan umum yang tidak berasas untuk melemahkan kredibilitinya dan kerajaan Persekutuan.
Ahli Parlimen Tambun itu berkata demikian menerusi pernyataan pembelaan yang difailkan menerusi Tetuan Thomas Philip di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor pada Rabu.Susulan itu, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan berkata, sebagai tindak balas terhadap serangan itu, beliau menyampaikan ucapan di Kongres Nasional Khas Malaysia Madani: 'Perlaksanaan Sebuah Idealisme' pada 18 Mac lalu.
"Dalam hal ini, saya berhak untuk menyangkal serangan yang tidak berasas terhadap watak, integriti dan niat baik saya sebagai Perdana Menteri dan kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan saya.
Dalam dokumen yang difailkan pada 3 Mei lalu, Dr Mahathir Mohamad memfailkan saman fitnah terhadap Anwar dengan menuntut ganti rugi RM150 juta berhubung ucapan Perdana Menteri ke-10 itu di Kongres berkenaan.
Dr Mahathir sebagai plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Law Practice of Rafique di Mahkamah Tinggi Shah Alam dengan menamakan Anwar selaku defendan tunggal.
Dalam pernyataan tuntutan, Dr Mahathir mendakwa Anwar telah mengeluar beberapa kenyataan yang berbaur fitnah bertujuan untuk menjatuhkan reputasinya.
Menurut Dr Mahathir, antaranya termasuk kenyataan kononnya plaintif ‘membolot’ harta untuk anak-anak dan keluarganya selain memberikan layanan khas atau mengutamakan individu-individu yang berpangkat tinggi.
Sedangkan katanya, kenyataan-kenyataan berkenaan adalah tidak benar dan menjatuhkan imejnya sebagai seorang negarawan dan bekas Perdana Menteri.
Dalam pada itu, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) ini mendakwa, saman oleh Dr Mahathir adalah bagi melemahkan kredibilitinya selaku Perdana Menteri, selain mewujudkan perpecahan kaum menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.
Anwar berkata, berdasarkan Sijil Perakuan Segera yang difailkan bekas Ahli Parlimen Langkawi bertarikh 3 Mei lalu, ia menyatakan tindakan saman mesti dilupuskan dengan segera, kerana enam negeri akan membubarkan sidang DUN bagi memberi laluan kepada PRN.
Enam negeri itu ialah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Selain itu, beliau turut membangkitkan isu pemberian kontrak secara langsung kepada Opcom Sdn Bhd yang mana anak ketiga Dr Mahathir iaitu Datuk Seri Mukhriz adalah pengarah syarikat tersebut pada 30 Mac 1994 hingga 14 Oktober 2009.
Sementara, isteri Mukhriz, Datin Seri Norzieta Zakaria katanya, merupakan pemegang saham majoriti Opcom dan pengarah syarikat tersebut sejak 18 Ogos 1999.
Menurutnya, anak sulung plaintif iaitu Datuk Mirzan juga bertindak pemegang saham syarikat berkenaan.
Defendan berkata, syarikat sama turut diberikan kontrak bernilai RM11.15 juta oleh Telekom pada 14 Mei 2018 bagi pemasangan dan pemulihan perkhidmatan-perkhidmatan Unifi.
"Sebuah lagi syarikat milik ahli keluarga Dr Mahathir iaitu Kencana Petroleum Berhad telah menerima sejumlah AS$220 juta (RM836 juta) daripada MISC (Malaysia International Shipping Corporation Berhad) atau Petronas bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 1998.
"Transaksi-transaksi itu berlaku di bawah bidang kuasa atau arahan Dr Mahathir semasa beliau memegang jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan,” katanya.