KUALA LUMPUR - Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa membentangkan Kertas Putih Kesihatan untuk dibahas dan diluluskan pada persidangan Dewan Rakyat pada Khamis.
Kertas putih itu dibentangkan selepas Dr Zaliha membentangkan Rang Undang-Undang Makanan (Pindaan) 2023 untuk bacaan kali pertama.
Beliau berkata, kertas putih itu menggariskan status semasa, jurang dan kekangan yang dihadapi oleh sistem kesihatan negara dan cadangan penyelesaian yang bersifat struktural dan sistemik merangkumi reformasi penyampaian perkhidmatan, pembiayaan dan tadbir urus secara berfasa dalam tempoh 15 tahun.
"Tonggak kedua, mempertingkatkan promosi kesihatan dan pencegahan penyakit; tonggak ketiga, memastikan pembiayaan kesihatan yang mampan dan saksama dan keempat, memperkukuhkan landasan dan asas sistem kesihatan dan tadbir urus,” katanya.
Dr Zaliha berkata, dokumen itu turut memperincikan langkah reformasi sistem kesihatan yang perlu dibuat dengan teliti dan mengambil masa yang merentasi paras pembangunan negara.
Beliau berkata, perlaksanaan reformasi secara berfasa bagi tempoh 15 tahun itu, merangkumi fasa jangka pendek iaitu tahun pertama bermula pada 2024, jangka sederhana mulai 2029 dan jangka panjang dari tahun 2034 hingga 2039.
Bagi memastikan reformasi sistem kesihatan dilaksanakan secara berterusan dan telus, serta menepati objektifnya, Dr Zaliha berkata kertas putih itu turut mencadangkan penubuhan sebuah badan pemantau.
"Untuk mengekalkan komitmen semua pihak berkepentingan, badan ini akan melaporkan pencapaian pelaksanaan reformasi sistem kesihatan secara berkala kepada Parlimen dan rakyat.
"Penubuhannya akan mewujudkan mekanisme semak dan imbang agar usaha dan komitmen negara kepada reformasi sistem kesihatan adalah kalis masa dan kalis peredaran ekonomi serta politik sepanjang tempoh 15 tahun akan datang,” katanya.
Kertas Putih Kesihatan setebal 57 muka surat itu boleh diakses dan dimuat turun di laman web Parlimen. - Bernama