JOHOR BAHRU - Polis Johor mengesan enam kenderaan pelbagai guna (MPV) Hyundai Starex dari Singapura memotong barisan di Tambak Johor, Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, seorang daripada enam pemandu MPV berkenaan sudah dapat dikesan dan satu saman sudah pun dikeluarkan.
Beliau berkata, lelaki terbabit dan lima lagi pemandu MPV berkenaan melakukan kesalahan tersebut pada jam 2.50 petang, 9 Jun lalu.
"Polis mengesan satu video berdurasi lebih tiga minit yang tular dalam media sosial menunjukkan beberapa kenderaan jenis Hyundai Starex menggunakan laluan khas lori dan bas untuk memotong barisan.
"Kesemua kenderaan itu dalam perjalanan dari Singapura menuju ke Malaysia, tindakan mereka telah menghalang laluan lori dan bas," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurut Raub, usaha sedang dibuat untuk mengesan beberapa lagi pemandu yang terbabit dalam insiden berkenaan.
Mana-mana pihak yang menjadi saksi diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi talian 07-2237977, katanya.
Menerusi rakaman tular itu, beberapa kenderaan MPV dilihat menghalang laluan lori dan bas sehingga menyebabkan pemandu lori membunyikan hon beberapa kali.