KLANG - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah, di sini pada Khamis.
Amirudin menaiki kereta rasmi Menteri Besar jenis Toyota Camry dengan diiringi pasukan pengiring Polis Diraja Malaysia tiba di istana berkenaan kira-kira jam 5 petang.
Teka teki tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor juga bakal terjawab apabila pertemuan itu dipercayai bagi menyembah maklum tarikh pembubaran DUN bagi mendapat perkenan baginda.
Awal pagi ini, Amirudin memaklumkan beliau akan menghadap Sultan Selangor sebelum baginda berangkat ke Tanah Suci.
Amirudin bagaimanapun berkata beliau belum menerima tarikh untuk menghadap baginda.
Sultan Selangor dan Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin, dijadual berangkat ke Tanah Suci minggu hadapan bagi menunaikan ibadah Haji.
Pembubaran DUN Selangor adalah bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.