SHAH ALAM - Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi respon isu yang dihadapi doktor muda kontrak mengenai penempatan perkhidmatan dalam sistem eHousemen (eHO).
Menurut Presiden MMA, Dr Muruga Raj Rajathurai, pegawai kesihatan menerima tawaran lantikan secara tetap perlu memilih penempatan mereka sendiri melalui sistem eHO namun pihaknya menerima banyak maklum balas daripada doktor muda kontrak yang terkesan dengan perkara tersebut.
"Doktor muda mengalami kesukaran mengakses portal berkenaan ditambah pula masalah sistem yang lambat sehingga mempengaruhi proses permohonan yang dibuat.
"Pemilihan pula dijalankan dengan terma ‘siapa cepat, dia dapat’ dan dibahagikan kepada beberapa pecahan namun pilihan untuk berkhidmat di negeri yang dipilih dan kemudahan fasiliti tidaklah tersedia dalam setiap fasa sehingga berlaku ketidakadilan kepada mereka,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Ujar Dr Muruga, mereka yang telah mendaftar bagi program Ijazah Sarjana atau program latihan kepakaran ‘Parallel Pathway’ dan menerima pelantikan secara tetap juga perlu berpindah ke tempat baharu.
Beliau menjelaskan, perkara itu mempengaruhi doktor muda kerana latihan yang dipelajari memerlukan mereka berada di pusat fasiliti tertentu dan diberitahu untuk menulis surat memaklumkan status penempatan.
"Ia merupakan tindakan yang tidak wajar selain menunjukkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan KKM tidak berkomunikasi dengan baik, kami harap perkara tersebut dapat diselesaikan,” ujar beliau.
Menurutnya, MMA turut menyuarakan isu yang sama sebelum ini namun masih belum ada maklum balas memuaskan.
Tambahan pula, skim Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) buat doktor muda yang membayar program latihan kepakaran itu seharusnya tidak perlu diadakan.
"Kebanyakannya menanggung biaya pengajian dan latihan sendiri, namun keputusan memaksa semua pelatih untuk memohon HLP dengan tajaan yang sedikit daripada kerajaan disifatkan seperti tidak adil,” jelasnya.
Dr Muruga menambah, MMA diarah supaya telus dalam merangka kriteria pemilihan doktor muda secara tetap berdasarkan maklum balas ahli perubatan namun tiada respon daripada kementerian setakat ini.
"JPA harus beri jawapan jelas tentang masa jika para doktor muda berstatus kontrak dinaikkan pangkat ke gred UD47 ekoran status quo semasa adalah tidak adil kerana setiap kali pembaharuan dibuat, mereka kekal di UD43 dengan kenaikan gaji yang sedikit tanpa memikirkan pengalaman bertahun servis di dalam sektor kerajaan.
"Pihaknya juga wajib membenarkan doktor muda melengkapkan peperiksaan latihan kepakaran dan menjalani proses yang membolehkan mereka diserap secara tetap sebagai pakar di mana kebanyakannya bakal memiliki karier cerah tidak lama kemudian,” ujar beliau dalam kenyataan sama.
Sehubungan dengan itu, bagi para doktor muda yang menerima status tetap, JPA perlu mempertimbangkan tempoh sedia ada dan tahun perkhidmatan sebagai kontrak dalam fasa kenaikan pangkat, bukannya set semula golongan ini menjadi ‘orang baru’ biar pun sudah berkhidmat lebih dari lima tahun.
"Pihak MMA memohon agar tindakan segera dapat dilakukan pihak KKM,” kata Dr Muruga.