VIENNA - AUSTRIA. Hasrat dua pelanggan untuk menikmati hidangan makan malam di sebuah restoran di Austria terbantut selepas pemilik premis itu mengamuk.
Kejadian berlaku pada lewat malam Rabu di daerah Bad Schallerbach di negeri Upper Austria, kata polis semalam.
Insiden itu berpunca selepas pelanggan terbabit mengadu menu yang mereka pesan tersilap masak.
Selepas menerima aduan tersebut, pemilik restoran itu bertindak ganas dengan melemparkan pinggan berisi makanan ke muka pelanggan terbabit, sambil melemparkan kata-kata kesat.
Bimbang keselamatan mereka terancam, kedua-dua pelanggan tersebut lari menyelamatkan diri.
"Selepas menerima aduan pesanan tersilap, pemilik berusia 56 tahun melempar pinggan dan isinya kepada muka pelanggan,” kata polis dalam satu kenyataan.
Kedua-dua pelanggan tersebut - seorang warga Hungary dan Jerman masing-masing berusia 40 dan 41 tahun - cedera di muka dan bibir.
Pemilik restoran itu juga menyerang kumpulan pelanggan lain yang mahu meninggalkan restoran itu selepas kejadian, berulang kali memukul lelaki berusia 43 tahun dan ayahnya berusia 71 tahun. – AFP