Parlimen Britain dedah laporan skandal 'partygate'

Iklan
Salah satu bukti bergambar pelanggaran peraturan Covid-19 yang dilakukan Johnson ketika bergelar Perdana Menteri. Foto: Agensi

LONDON -"Boris Johnson sengaja mengelirukan ahli Parlimen berhubung parti sosial di pejabat No. 10 di Downing Street yang melanggar peraturan Covid-19 ketika beliau menjadi Perdana Menteri.”

Kenyataan itu berdasarkan laporan setebal 106 muka surat dikeluarkan Jawatankuasa Keistimewaan pada Khamis yang menetapkan keanggotaan Johnson, 58, wajar digantung selama 90 hari kerana melakukan ‘penghinaan’ berulang kali dan cuba menjejaskan proses Parlimen.

Iklan
Iklan

Namun, bekas Datuk Bandar London itu ‘lebih bijak’ kerana beliau terlebih dahulu meletak jawatan sebagai ahli Parlimen minggu lalu untuk mengelak sebarang tindakan rasmi ke atasnya.

Johnson sekali lagi menyelar fungsi jawatankuasa dibarisi oleh tujuh anggota tersebut yang didakwa sebagai ‘antidemokrasi’ kerana menyasarkan beliau.

Iklan

"Ia sememangnya mahkamah kanggaru yang sengaja mahu mencari salah saya tanpa mengira fakta,” katanya yang mengakui telah mengelirukan Parlimen, namun menafikan ia dilakukan secara sengaja atau melulu.

Skandal ‘partygate’ menyaksikan Johnson bersama puluhan pegawai kerajaan didenda kerana melanggar peraturan penjarakan sosial yang dilaksanakan untuk membendung penyebaran Covid-19.

Iklan

Ia turut membawa kepada kejatuhan Johnson dan mencalarkan imejnya, selain mencetuskan ‘pemberontakan’ dalam kalangan menteri yang memaksanya untuk meletak jawatan pada Julai 2022.

Difahamkan, jawatankuasa berkenaan juga menyarankan pas Parlimen sebagai bekas ahli yang dipegang oleh Johnson dilucutkan dan undian tersebut dijadualkan pada minggu depan. - AFP