MINGGU lepas keputusan Sijil Pelajaran Malaysia bagi sesi persekolahan 2022/2023 diumumkan.
Seperti biasa pastinya ada wajah yang gembira dan ceria, tak kurang juga ada yang sugul atau kecewa. Itu memang lumrah setiap kali keputusan peperiksaan besar diumumkan.
Bagi calon-calon yang mendapat keputusan cemerlang, mereka pastinya mula mencongak perancangan masa depan. Di mana nak sambung pengajian, universiti mana yang ingin dipilih dan jurusan apa yang mahu diambil nanti.
Dalam kecoh-kecoh para calon menerima keputusan SPM masing-masing, ada sahaja orang di media sosial yang cuba membuat perspektif atau persepsi sendiri mencorak masa depan para pelajar itu.
Mulalah ada yang berfikiran negatif memuat naik tulisan atau status yang secara tak langsung memberi kesan kepada golongan muda.
Sebagai contoh, ada yang tulis tak perlu nak fikir sangat universiti atau jurusan apa yang nak dipilih nanti sebab belum tentu apabila tamat pengajian nanti senang-senang saja nak dapat kerja.
Ada juga yang kongsikan kononnya pengalaman sendiri; belajar di universiti terbaik, ambil jurusan yang power tapi akhirnya keluar dari universiti terpaksa menganggur.
Malahan ada juga yang cakap, segulung ijazah belum tentu dapat dijadikan cagaran untuk dapat gaji yang setimpal dengan kelulusan yang ada.
Tulisan seumpama itu adalah virus yang boleh merosakkan minda golongan muda yang baru nak merancang masa depan mereka.
Persoalannya sekarang, ke manakah hilangnya pegangan akidah kita sebagai seorang Islam. Bukankah menuntut ilmu sehingga ke peringkat tertinggi itu adalah fardu ain?
Bukankah percaya bahawa semua punca rezeki itu adalah milik ALLAH. Dialah yang Maha Memberi rezeki kepada setiap hambanya.
Sepatutnya kita memberikan galakan dan berkongsi sesuatu yang positif dengan para pelajar yang mahu menyambung pengajian mereka.
Sekurang-kurangnya dengan menamatkan pengajian sama ada di peringkat sijil, diploma, ijazah mahupun Phd, golongan muda ini memiliki satu jaminan ilmu dalam hidup mereka.
Dari aspek kerja, gaji dan rezeki; biarlah kita berusaha dahulu dan selebihnya bertawakal serta berserah kepada Yang Maha Berkuasa. Itulah pegangan akidah kita dalam Islam.