SEJAK akhir-akhir ini banyak pula kes budak bawah umur pandu kereta. Lain macam tahap keyakinan mereka kerana berani memandu di jalan raya besar yang sibuk dengan pelbagai jenis kenderaan.
Terbaharu, seorang kanak-kanak berusia 11 tahun dirakam memandu sebuah kereta Proton Saga di Jalan Kampung Pendamar, Klang, Selangor.
Berdasarkan rakaman video yang tular, budak lelaki itu dilihat memandu di jalan raya yang sesak sebelum memasuki simpang dan berhenti di hadapan rakan-rakannya.
Sebelum itu pada Mei lalu, rakyat Malaysia dikejutkan dengan keberanian seorang kanak-kanak enam tahun di Langkawi yang memandu kereta tanpa pengetahuan ibu bapanya.Kanak-kanak terbabit dikatakan memandu sejauh 2.5 kilometer (km) dari rumahnya bersama adiknya yang berusia tiga tahun untuk ke kedai bagi membeli mainan.
Tak tercapai dek akal bagaimana kanak-kanak sekecil itu mampu pandu kereta tanpa bantuan orang dewasa.
Apa yang mengejutkan, kanak-kanak itu mendakwa tahu cara membawa kereta hanya dengan melayari YouTube dan mengamati cara pemanduan bapanya.
Malah siasatan polis mendapati tiada simulator digunakan untuk berlatih memandu di rumah kanak-kanak itu.
Hebat tak hebat budak zaman sekarang. Sedangkan ada orang dewasa yang sudah lama memiliki lesen memandu dan mendapat latihan profesional pun masih takut-takut untuk pegang stereng.
Zaman penulis dahulu, usia sekecil itu hanya pandai bawa basikal, itu pun basikal roda tiga. Naik sekolah rendah atau menengah baru pandai ‘curi-curi’ bawa motosikal.
Itu pun setakat ronda-ronda dalam kampung. Memang lain macam pemikiran budak-budak sekarang, makin lama makin advance. Berani mencuba dan meneroka sesuatu perkara yang baharu.
Penulis teringat sebelum Covid-19 melanda, remaja kita terkenal dengan fenomena basikal lajak. Masing-masing tunjuk kreativiti, ubah suai basikal siapa paling laju. Kemudian tungganglah mereka dengan aksi ala Superman.
Sebenarnya aktiviti menunggang basikal lajak bukanlah sesuatu yang baharu kerana ia agak popular di negara barat dan kebanyakan negara Eropah sebagai gravity bike, namun ia dijalankan dengan kaedah yang lebih selamat.
Cuma di Malaysia ia nampak seperti aktiviti tidak bermoral kerana cara tunggangan dan lokasi berbasikal yang tidak selamat.
Sedangkan jika kegiatan itu dilakukan dengan bimbingan yang betul, penulis percaya mampu membentuk anak-anak ini menjadi pelumba bertaraf dunia seperti Azizulhasni Awang. Paling tidak pun bakat mereka mengubah suai basikal boleh diketengahkan.
Manalah tahu dengan pendidikan bersesuaian, suatu hari nanti boleh jadi pakar kejuruteraan untuk jentera Malaysia.
Sama hal juga dengan kes kanak-kanak yang berani memandu kereta. Walaupun ramai yang kecam kerana membahayakan nyawa, namun dari sudut lain, ramai juga netizen yang menganggap kanak-kanak ini mempunyai bakat dan keberanian luar biasa.
Seperti komen pengguna Facebook Khairi Abdul Manan:
"Budak macam ni lah kena ada pihak yang take care mereka. Apa yang budak ni lakukan belum pernah berlaku, mungkin ada kelebihan budak ini, istimewa dan mungkin akan menjadi pro jika dibimbing. Hanya budak istimewa dan berani akan menunjukkannya di waktu usia masih kecil. Pada ibu dan bapa budak ini anda begitu istimewa kerana mempunyai anak yang berani mencuba sesuatu yang di luar jangkauan fikiran kita.”
Tidak kurang juga yang mendoakan agar kanak-kanak ini menjadi pelumba kereta profesional suatu hari nanti.
"Boleh dilatih dari awal untuk pemandu pertama F1 Melayu. Positifkan pemikiran,” kata Yusof Ramli.
Justeru, penulis berpendapat tidak salah rasanya jika kerajaan menimbangkan semula cadangan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob yang mahu litar khusus bagi perlumbaan drag dibina di setiap negeri dalam usaha memperkasakan program pembangunan sukan permotoran negara.
Penulis percaya jika bakat dan keberanian anak-anak ini disalurkan di tempat yang betul mampu menjadi permata yang berkilau pada masa akan datang.
* Siti Hazira Hamdan ialah Editor Pengisian Sinar Harian