PELABUHAN KLANG - Taktik sindiket yang mengikrar barangan dagangan sebagai perkakasan rumah dan aksesosi memancing untuk menyeludup masuk minuman keras bernilai RM1.1 juta di Pelabuhan Utara di sini terbongkar baru-baru ini.
Pengarah Operasi Penguatkuasaan Zon Tengah, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Wong Pun Sian berkata, rampasan dua kontena itu dibuat secara berasingan pada 26 Mei dan 31 Mei.
Menurutnya, dalam kes pertama, pasukan operasi dari Bahagian Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah Unit I telah mematahkan cubaan menyeludup minuman keras yang disyaki tidak berkastam melalui penahanan sebuah kontena.
"Pemeriksaan kontena terbabit menemui 26,160 liter dengan anggaran nilai sebanyak RM111,120 membabitkan jumlah cukai dan duti berjumlah RM793,030.
"Semakan mendapati dagangan itu diikrar sebagai barang perkakasan rumah dari negara jiran dan wakil perkapalan telah gagal mengemukakan dokumen berkaitan kelulusan pengimportan dagangan tersebut," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, minuman keras tersebut diletakkan di bahagian belakang muatan kontena dan bahagian hadapan diletakkan kotak polyfoam bagi mengaburi pihak kastam.
Dalam kes kedua, JKDM telah merampas minuman keras berjumlah 12,616.20 liter dengan anggaran nilai RM93,940 membabitkan jumlah cukai dan duti RM172,505.
"Berdasarkan maklumat di Borang Kastam 1, dagangan tersebut diikrarkan sebagai aksesori memancing dari negara jiran dan wakil perkapalan telah gagal mengemukakan dokumen berkaitan kelulusan pengimportan dagangan tersebut," ujarnya.
Mengulas lanjut, dua wakil perkapalan membabitkan dua kes terbabit telah dipanggil untuk membantu siasatan lanjut.
"Kes ini masih dalam siasatan untuk mengesan syarikat atau ejen pengimport yang terlibat bagi tindakan selanjutnya.
"Wakil syarikat perkapalan telah hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan lanjut.
"Kes ini sedang disiasat di bawah Akta Kastam 1967," katanya.