MPK semarak semangat antirasuah

Iklan
Dari kiri: Wan Normi, Norfiza, Hamdan dan Mohd Affaizul menunjukkan plakad Rasuah Busters dan Hari Klang Tanpa Kenderaan di pejabat Majlis Perbandaran Klang pada Khamis.

KLANG - Penganjuran Hari Klang Tanpa Kenderaan bertemakan Malaysia Tanpa Rasuah Ahad ini bakal meningkatkan kesedaran dalam kalangan warga Majlis Perbandaran Klang (MPK) khususnya dan masyarakat setempat amnya, bahawa rasuah kini menjadi musuh nombor satu negara.

Pengarah Komunikasi Korporat MPK, Norfiza Mahfiz berkata, inisiatif bersama Rasuah Busters itu dapat mendidik kakitangan MPK dan warga Klang supaya menolak apa jua tawaran rasuah daripada sesiapa sahaja.

Iklan
Iklan

"Melalui kempen ini, kita dapat menyampaikan mesej kepada orang ramai dan meningkatkan imej serta persepsi orang ramai terhadap penjawat awam.

"Ini kerana penjawat awam banyak dikaitkan dengan rasuah dan pelbagai aktiviti kesedaran yang akan dijalankan nanti dapat mendidik serta memperlihatkan penekanan serius betapa MPK memandang isu rasuah sebagai ancaman kepada perkhidmatan perbandaran di sini,” kata Norfiza kepada rombongan Sinar Harian pada Khamis.

Iklan

Turut hadir, Pegawai Perhubungan Strategik Rasuah Busters, Wan Normi Hasan; Pengerusi Rasuah Busters Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, Profesor Dr Hamdan Daniel dan Pegawai Komunikasi Korporat MPK, Mohd Affaizul Abd Majid.

Hari Klang Tanpa Kenderaan akan diadakan di Laman Seni Safari Klang dan sebahagian jalan akan ditutup bagi melancarkan penganjuran program itu yang melibatkan Jalan Tengku Kelana termasuk di hadapan Galeri Diraja dan Jalan Istana bermula jam 7 pagi sehingga 9.30 pagi.

Pelbagai acara menarik disediakan pada program Hari Klang Tanpa Kenderaan Ahad ini.

Iklan

Pelbagai acara menarik disediakan antaranya berjalan kaki sejauh lima kilometer, kayuhan santai, senamrobik, demonstrasi bomba, food truck dan aktiviti oleh Rasuah Busters buat pengunjung.

MPK turut menyediakan aktiviti untuk kanak-kanak seperti pameran buku dan perpustakaan bergerak oleh Perpustakaan Awam Selangor serta acara-acara lain yang pasti bermanfaat buat warga Klang.

Justeru, Norfiza mengajak masyarakat setempat untuk bersama menyertai program itu dalam usaha menggemakan suara menolak rasuah.

"Ayuh warga Klang, kita meriahkan hari berkenaan, bersama kita menjiwai usaha untuk bencikan perbuatan jijik rasuah.

"Jumpa anda di sana, jangan lupa kita turun beramai-ramai dan tunjukkan soladariti kebersamaan kita ayuh tolak rasuah,” katanya.