PENYERANG Argentina, Lionel Messi menjelmakan aura sensasinya kepada para penyokong La Albiceleste, apabila meledak gol terpantas dalam karier antarabangsanya, hanya 79 saat (1:19) selepas perlawanan bermula ketika mengalahkan Australia, 2-0 dalam perlawanan persahabatan di Beijing pada Khamis.
Argentina yang merupakan pasukan pilihan bermula agresif memenangi bola dalam kawasan Australia selepas seminit sebelum hantaran Enzo Fernandez menemui Messi.
Kapten Argentina itu kemudiannya tenang melepasi kawalan dua pertahanan Australia sebelum menewaskan penjaga gol Mathew Ryan dengan penyudah lencong dari luar kotak penalti.
Juara dunia itu kemudian menggandakan kelebihan pada separuh masa kedua menerusi sentuhan pemain gantian, German Pezzella yang menterjemahkan hantaran Rodrigo de Paul pada minit ke-68.
Messi, minggu lalu mengesahkan mahu berpindah ke kelab Liga Bola Sepak Utama (MLS) Amerika Syarikat, Inter Miami, telah menjaringkan gol dalam tujuh perlawanan berturut-turut untuk Argentina dan tidak menunjukkan petanda akan perlahan menjelang hari lahirnya yang ke-36 minggu depan.
"Namun di sini ia adalah rumit untuk bermain kerana cuaca panas dan kelembapan, namun kami meletakkan segala-galanya di luar bagi meneruskan kemenangan pasukan,” kata Messi.
Lautan biru-putih telah menyambut Argentina ketika gergasi Amerika Selatan itu melangkah ke padang dengan majoriti besar daripada 68,000 penonton berkapasiti yang memakai warna juara Piala Dunia Qatar 2022 tersebut.
"Saya tidak dapat melihat sebarang baju kuning di mana-mana...
"Saya hanya berharap Lionel Messi mendapat sedikit komisen daripada jualan baju kerana saya tidak pernah melihat begitu banyak baju nombor 10 Argentina dalam hidup saya," kata pengendali Australia, Graham Arnold sebelum perlawanan.