KMUM bantah arahan batal konsert universiti

Iklan
Kenyataan KMUM bantah arahan KPT berkaitan pembatalan semua konsert di universiti awam termasuk Universiti Malaya.

SHAH ALAM - Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) membantah arahan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berkaitan semua program konsert di universiti awam yang tidak melalui proses penilaian risiko aksi luar jangka perlu dibatalkan dan dinilai semula.

KMUM dalam satu kenyataan pada Jumaat memaklumkan bahawa, penilaian berlebihan sehingga perlu melalui beberapa kelulusan, bukan sahaja di peringkat universiti malah di peringkat KPT adalah tidak munasabah.

Iklan
Iklan

"Pengeluaran surat arahan secara mendadak ini akan mengakibatkan status program yang berunsurkan konsert tergantung dan berkemungkinan boleh dibatalkan,” kata kenyataan itu.

Pada 14 Jun, Sinar Harian melaporkan Kerajaan Terengganu akan menyiasat video tular memaparkan sebuah konsert yang dikatakan berlangsung di dalam dewan sebuah institusi pengajian tinggi awam di negeri itu.

Iklan

Mengulas lanjut, KMUM menegaskan insiden yang berlaku di dalam sesebuah universiti tertentu tidak mencerminkan kesemua polisi universiti awam adalah sama.

Jelas kenyataan itu, KPT tidak sepatutnya mengeluarkan satu arahan bersifat menyeluruh dan terburu-buru yang perlu dipatuhi oleh semua universiti awam.

Iklan

Pada masa sama, KMUM memberitahu implikasi arahan tersebut secara tidak langsung menjejaskan pembangunan mahasiswa kerana ia dapat menutup peluang mereka untuk menyerlahkan dan menggilap bakat serta kemahiran.

"Sekiranya program tersebut dibatalkan, penganjur program yang terdiri daripada mahasiswa terpaksa menanggung kos program tersebut sendirian dan segala persiapan menjadi sia-sia,” kata kenyataan itu.

Kata kenyataan itu lagi, surat arahan berkenaan telah menghalang dan membantutkan kebebasan mahasiswa untuk bersuara dan bebas berautonomi tanpa alasan yang munasabah.

"Memandangkan Malaysia sedang menuju ke arah pembentukan kesatuan mahasiswa di seluruh universiti awam, mereka harus diberi autonomi untuk menganjurkan acara di dalam universiti tanpa campur tangan kerajaan.

"Kami juga ingin menekankan bahawa kerajaan secara jelas tidak mengotakan janji dalam memberikan lebih banyak kebebasan dan keistimewaan kepada mahasiswa di universiti,” kata kenyataan itu.

Justeru, KMUM memaklumkan bahawa pihaknya akan mengeluarkan satu garis panduan yang komprehensif dalam penganjuran program dan aktiviti daripada segi keselamatan dan pemantauan.