ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Seramai 20 individu termasuk seorang warga emas berusia 78 tahun yang sedang leka bermain judi belangkas tidak sempat meloloskan diri apabila diserbu polis di ladang kelapa sawit, Kampung Titi Akar, Pendang, pada petang Rabu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, serbuan jam 7.15 petang yang dilakukan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah itu berjaya menahan 15 lelaki bersama lima wanita.
Menurutnya, seorang lelaki tempatan berusia 53 tahun yang dipercayai sebagai penganjur dan seorang lelaki berusia 59 tahun yang menjadi penaruh judi turut ditahan.
"Mereka asyik berjudi dan bila polis serbu ramai yang lari. Kita berjaya tangkap dan di lokasi juga kita berjaya merampas wang tunai sejumlah RM28,624.
"Kesemua tangkapan ini kita akan tuduh di bawah Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. Jika disabit kesalahan boleh dihukum tidak melebihi RM5,000 atau dipenjara tidak melebihi enam bulan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah pada Jumaat.
Jelas Fisol, individu yang ditahan berusia 18 hingga 78 tahun dan mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang untuk siasatan lanjut.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, bermula awal Januari sehingga 15 Mei, sebanyak 955 serbuan menerusi ‘Op Dadu’ dilakukan dengan 982 tangkapan melibatkan kesalahan judi dalam talian, judi loteri awam tanpa lesen dan lain-lain.
Tambahnya, hasil tangkapan yang dilakukan, sebanyak 955 kertas siasatan dibuka dan 477 kes berjaya dituduh di mahkamah.