Setahun selepas revolusi senyap

Iklan
Pada 9 Mei ini genap setahun kerajaan Pakatan Harapan menerajui Malaysia selepas menang pilihan raya umum tahun 2018.

PADA malam 9 Mei 2018, saya berada di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar sebagai pemerhati atas tiket UKM, menyaksikan penjumlahan undi bagi Parlimen Kuala Kangsar.

Berasal dari Kuala Kangsar, Perak saya memutuskan untuk bertugas di situ. Perkembangan bagi Parlimen Kuala Kangsar diketahui dengan begitu perlahan. Pada ketika itu, banyak keputusan telah disebarkan melalui media sosial yang menyaksikan fenomena domino selatan yang dimulai di Johor.

Iklan
Iklan

Tiada siapa menjangka ini boleh berlaku. Sepanjang dua minggu atas jalanan dan menyaksikan kempen yang berlangsung, tidak ada tanda yang Barisan Nasional (BN) akan dikeluarkan daripada kekuasaan.

Namun, segala-galanya menjadi satu kemungkinan. Papan layar keputusan di dewan tidak dikemas kini seperti lazimnya apabila sesuatu keputusan pusat pengundian diperoleh. Keresahan dan ketegangan terpampang jelas, bukan sahaja pada wajah petugas SPR, malah kepada semua yang hadir.

Iklan

Pada sebelah pagi sebelumnya, saya menunaikan kewajipan saya tanpa sebarang rasa sangsi dan resah. Sebagai rakyat dan juga saintis politik, saya begitu ingin menyaksikan satu penggiliran kuasa.

Saya ingin melihat satu penyegaran berlaku dalam demokrasi Malaysia yang semakin predictable dan membosankan. Saya ingin melihat UMNO dan BN belajar daripada kekalahan dan menundukkan diri mereka daripada keangkuhan.

Iklan

Lima tahun lagi, saya boleh menukar semula PH jika tidak berpuas hati. Ia adalah semudah itu, Terpentingnya, saya juga inginkan kesakralan akademik di universiti kembali terpelihara.

Ada kalanya, kecenderungan seseorang untuk mengundi bukanlah kerana isu-isu nasional namun turut didorong isu-isu yang dekat dengan beliau.

Saya amat mual melihat campur tangan politik di universiti. Mual melihat pengurusan tertinggi universiti yang bersikap lebih sudu daripada kuah dalam memenangkan hati bapa-bapa menteri dan bersikap seperti ahli politik.

Mual melihat ahli-ahli akademik yang dinaikkan pangkat tanpa mengikut merit dan melalui pintu belakang. Mual melihat Majlis Profesor Negara yang berkokok tidak henti-henti dalam mewajarkan apa sahaja kebejatan yang dilakukan BN.

Mual melihat diskriminasi halus yang berlaku terhadap saintis politik melainkan anda tahu bercumbuan dengan pemerintah.

Keputusan Parlimen Kuala Kangsar akhirnya menyebelahi penyandang sebelum ini, Mastura Mohd Yazid walaupun media pada awalnya melaporkan yang beliau juga mungkin tewas. Namun, Mastura pastinya tahu yang kemenangan beliau sudah tidak bermakna.

Pada tengah malam, bahang peralihan kuasa semakin sukar disejukkan. Pada jam 1 pagi, pemimpin seperti Khairy Jamaluddin telah mengucapkan tahniah pada PH.

Namun suasana masih tidak menentu. Apa saja boleh berlaku walaupun saya tidak yakin yang Datuk Seri Mohd Najib Razak akan mengisytiharkan darurat seperti yang banyak dispekulasikan.

Pada jam 2 pagi, saya menerima mesej daripada seorang anggota polis UTK yang"UTK dah escort Tun” – petanda paling jelas bahawa BN bukan lagi parti pemerintah di Malaysia.

Saya berasa begitu surreal pada saat itu. Tanggal 10 Mei 2018 akan menyertai soalan sejarah penting iaitu"di mana anda berada pada tanggal X?”.

Saya menaiki kereta api untuk pulang ke Kuala Lumpur pada subuhnya. Sebaik tiba di Kuala Lumpur pada jam 9 pagi, suasana begitu mendamaikan. Tidak ada tanda yang Kuala Lumpur dicemari dengan insiden rusuhan, pergaduhan kaum dan pertumpahan darah seperti yang turut dispekulasikan beberapa pihak.

Saya tidak pernah menjadi lebih bangga menjadi rakyat Malaysia. Buat pertama kali, Malaysia juga tidak lagi akan diasosiasikan dengan BN.

Namun perubahan lebih baik yang diharapkan kini menjadi fatamorgana. Ia hanya cantik dan wujud dari kejauhan tetapi menghilang apabila semakin dekat.

Kepada mereka yang pernah menjadi pelajar saya, mereka pastinya akan pernah mendengar satu ungkapan yang sering saya lontarkan iaitu"ahli politik sama sahaja”.

Tidak ada tempat yang lebih baik bagi mengesahkan tanggapan ini dengan melihat apa yang berlaku setahun selepas PH memegang tampuk kekuasaan.

Menjadi konsensus kini bahawa keterujaan yang menyelubungi peralihan kuasa setahun yang lepas telah pun memudar. Melainkan seorang itu memang penyokong tegar PH ataupun aktivis atau ahli akademik yang telah mendapat manfaat daripada kerajaan PH dan kini sibuk berswafoto dengan menteri dan orang-orang kenamaan, tentu sahaja segala-galanya berjalan lancar dan mata mereka telah tertutup rapat.

Bekas Presiden Amerika Syarikat, Lyndon Johnson pernah mengungkapkan yang power is where power goes.

Di sebalik retorik mengenai pembaharuan, keterbukaan dan reformasi yang membasahi bibir pemimpin PH, ia adalah pengekalan dan perluasan kekuasaan dengan apa jua cara yang menjadi matlamat setiap ahli politik.

Dengan kata lain, yang bertukar hanyalah"tuan badan” yang masih memakai"baju yang sama”. Inilah yang disaksikan sepanjang setahun pemerintahan PH yang keliru mencari identiti pemerintahan sendiri.

Yang kelihatan hanyalah ego dan kerakusan sebagai pemerintah baharu dan keperluan untuk menconteng sehitam-hitamnya arang ke legasi BN.

Dalam keghairahan PH menyelidik cari sejengkal di kain BN, mereka terlupa akan telanjang diri sendiri (sindrom badi kuasa seperti yang pernah saya tulis sebelum ini).

Tentu sahaja saya berbohong jika saya tidak menikmati dan menyokong sedikit sebanyak keterbukaan dan pembaharuan yang dilakukan PH khususnya di universiti.

Bersikap objektif, tentu sahaja juga tidak adil menilai PH hanya dalam tempoh satu tahun. Lebih lagi, sememangnya diakui yang PH perlu menguruskan banyak legasi tidak popular BN. Fakta-fakta yang mempunyai merit ini tidak harus diketepikan.

Namun saya pastinya seorang yang mementingkan diri jika hanya memikirkan keselesaan. Di sebalik sedikit keselesaan yang kini dinikmati oleh ahli akademik seperti saya, saya melihat golongan lain semakin tidak bernasib baik.

Ramai rakan dan taulan yang saya temui kini mula diselubungi rasa bersalah dengan undi mereka kepada PH. Biarpun masih tidak di tahap menyesal, naluri mereka amat terusik dengan tindakan-tindakan yang dilakukan PH.

Kerana undi mereka, masyarakat luar bandar semakin tersisih, Kerana undi mereka, polis yang sepanjang masa menjaga keselamatan negara"dihadiahkan’ dengan IPCMC. Kerana undi mereka, jawatan di perkhidmatan awam semakin dicatukan.

Kerana undi mereka, ibu bapa dan anak mereka kini seolah-olah melutut ingin mendapatkan bantuan sara hidup. Kerana undi mereka, pembunuh tidak lagi akan ke tali gantung. Kerana undi mereka, PTPTN semakin menekan mahasiswa.

Kerana undi mereka, mereka mendapat pemimpin yang menggunakan sijil pengajian palsu. Kerana undi mereka, lantikan politik masih terus berleluasa. Kerana undi mereka, bahasa lain sudah boleh digunakan sebagai bahasa perutusan rasmi.

Kerana undi mereka, yang dapat mereka lihat hanyalah sindrom penafian dan pelencongan tidak berkesudahan. Dan kerana undi mereka, mereka berkemungkinan akan menerima seorang perdana menteri baharu yang tidak berdiri atas legitimasi rakyat.

Ini bukan"pulangan” yang ingin mereka lihat daripada"pelaburan” yang telah mereka lakukan pada 9 Mei tahun lepas. Dan seperti mereka, saya turut berkongsi sentimen yang dirasakan dengan meluas ini.

Seseorang tidak memerlukan PhD untuk mengetahui yang PH semakin terputus dengan rakyat (yang tahu menilai). Kepercayaan ialah umpama ubat gigi yang tertutup rapat. Jika isinya telah terkeluar dari tiub, adalah sukar untuk memasukkannya semula.

* Profesor Madya Dr Muhamad Takiyuddin ialah pensyarah di Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia