KUALA LUMPUR - Seramai 318,750 pekebun kecil getah akan menerima Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) tahun ini, dengan bayaran RM800 seorang, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, jumlah itu melibatkan 232,427 pekebun kecil getah berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan 86,323 pekebun kecil getah di bawah Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS).
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, permohonan bagi bantuan dengan nilai peruntukan keseluruhan RM256 juta itu, dibuka bermula semalam (15 Jun) sehingga 15 September depan.
"Program BMT 2023 melambangkan komitmen Kerajaan Malaysia Madani untuk menyokong kehidupan pekebun kecil dan penoreh getah, bagi mengatasi cabaran kewangan semasa musim tengkujuh.
"Kerajaan mengharapkan pekebun kecil dan penoreh getah mendapat manfaat sepenuhnya, menerusi program ini, katanya menerusi catatan terkini di Facebooknya pada Jumaat.
Ahmad Zahid berkata, BMT disampaikan kepada pemilik kebun getah kecil yang menguruskan kebun sendiri, manakala pemilik kebun yang menjadi ahli kepada Projek Tanam Semula Berkumpulan juga layak menerima bantuan itu.
Beliau berkata, penoreh getah yang bergantung pada penorehan getah sebagai pekerjaan utama dan tidak memiliki tanah kebun getah, juga termasuk dalam senarai penerima bantuan.
Selain itu, Ahmad Zahid berkata, individu yang berdaftar dengan RISDA dan berada dalam Sistem Pembangunan Pekebun Kecil (e-SPeK), juga layak menerima bantuan itu.
Permohonan atau urusan mengemas kini BMT 2023 boleh dibuat melalui laman sesawang www.pekebunkecilrisda.gov.my.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2023 pada Februari lepas, mengumumkan kadar bayaran BMT dinaikkan daripada RM600 kepada RM800 seorang dengan peruntukan keseluruhan RM256 juta. - Bernama