Punca kematian pegawai kadet TLDM: Mahkamah putus keputusan terbuka

Iklan
Ahli keluarga mendiang yang hadir ke kamar Mahkamah Koroner pada Jumaat. - Foto Bernama

IPOH - Mahkamah Koroner di sini pada Jumaat memutuskan keputusan terbuka berhubung inkues bagi menentukan punca kematian pegawai kadet Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), J Soosaimanicckam.

Koroner Ainul Shahrin Mohamad juga memutuskan punca kematian J Soosaimanicckam yang meninggal dunia semasa menjalani latihan sebagai pegawai kadet di KD Sultan Idris, Lumut pada 19 Mei 2018 adalah disebabkan edema pulmonari.

Iklan
Iklan

Ainul Shahrin berkata, menurut laporan mendiang terbuang air besar ketika mandi, sebelum tidak sedarkan diri dan dikejarkan ke Hospital Angkatan Tentera (HAT) Lumut, dan disahkan meninggal dunia selepas itu.

Keputusan itu dibuat di hadapan ahli keluarga mendiang yang hadir ke kamar mahkamah iaitu bapanya, S Joseph, 70, abangnya, Charles Joseph, 37, dan sepupunya, Vincent Lourders, 56, dan peguam keluarga itu, Zaid Malek dan Mahajoth Singh.

Iklan

Di luar mahkamah, Zaid berkata, pihaknya akan memfailkan rayuan ke Mahkamah Tinggi Ipoh, setelah perbincangan diadakan dengan ahli keluarga.

Beliau berkata, terdapat banyak bukti dan persoalan yang tidak terjawab, antaranya apakah yang menyebabkan edema pulmonari, yang dikatakan sebagai punca kematian.

Iklan

"Mendiang masuk ke dalam latihan TLDM sebagai seorang yang sihat, melepasi ujian kesihatan, layak untuk menjalani latihan, tetapi seminggu selepas menjalani latihan, dia meninggal dunia.

"Dia juga tidak dibenarkan mendapat rawatan awal, sedangkan jika dia diberikan rawatan awal, dia mungkin dapat diselamatkan,” katanya.

Manakala Joseph (bapa) mendakwa, Ketua Unit Forensik Hospital Seri Manjung, Dr S Saravanan yang melakukan post moterm ke atas mendiang dan juga saksi dalam inkues berkenaan, bukan pakar dan tidak berkelayakan untuk menentukan penyebab kematian mendiang.

Terdahulu pada 19 Mei 2018, Soosaimanicckam yang ketika itu berusia 27 tahun, disahkan meninggal dunia di Hospital Angkatan Tentera Lumut.

TLDM dalam kenyataan media pada 20 Mei 2018 memaklumkan, Pegawai Kadet Graduan (PKG) itu mengadu sakit dada dan sesak nafas di blok penginapannya selepas selesai menjalani latihan fizikal, yang merupakan rutin harian pelatih pada jam 12.20 tengah hari.

Susulan itu, Soosaimanicckam telah diberikan bantuan penafasan dan rawatan lanjut oleh doktor yang bertugas, sebelum disahkan meninggal dunia pada 1.45 petang.

Mendiang melapor ke Kapal Diraja (KD) Sultan Idris bagi menjalani latihan kursus kelayakan pegawai graduan, pada 12 Mei 2018.

Ketua Polis Daerah Manjung ketika itu, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, hasil siasatan forensik mendapati mangsa maut akibat paru-paru berair dan mengesahkan tiada sebarang unsur jenayah atau serangan fizikal, serta mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.

Bagaimanapun, keluarga mendiang kemudian menuntut TLDM dan polis memberi penjelasan terperinci berhubung kematian itu, dengan mendakwa timbul kemusykilan berhubung punca kematian Soosaimanicckam, memandangkan laporan awal menyatakan beliau meninggal dunia akibat paru-paru berair, sedangkan laporan perubatan sebelum menjalani latihan menyatakan mendiang seorang yang sangat sihat. - Bernama