SHAH ALAM - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki Malaysia Everest 2023 (ME 2023), orang kurang upaya (OKU) pendengaran, Muhammad Hawari Hashim yang hilang sejak 19 Mei lepas ditamatkan pada Jumaat dan akan disambung semula tahun depan.
Ketua Misi ME2023, Azim Afif Ishak berkata, ia susulan permit khas pencarian menggunakan dron dan SAR udara yang diluluskan pihak berkuasa Nepal telah tamat serta aktiviti pendakian ke puncak Everest juga ditutup bermula 29 Mei lalu.
Sehingga kini katanya, belum ada sebarang petunjuk ditemui sepanjang tempoh operasi itu berjalan.
"Operasi SAR yang diadakan semalam (Khamis) turut mengesan satu objek antara Kem Dua dan Kem Tiga namun selepas dikenal pasti ia hanyalah longgokkan sampah dan khemah yang diterbangkan angin.
"Objek berkenaan dikesan melalui gambar dan video yang dirakam dron pada 8 Jun lalu menunjukkan seperti jasad Hawari berdasarkan warna sut yang digunakan beliau ketika misi pendakian namun sengaja tidak mendedahkannya kerana ia masih belum disahkan lagi.
"Status Muhammad Hawari (ketika ini) diletakkan sebagai 'orang hilang' kerana jasadnya masih belum ditemui sehingga kini," katanya ketika sidang akhbar di Kathmandu, Nepal, pada Jumaat.
Turut hadir, Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu, Mohd Fadzle Abu Hasan; Pengarah Pioneer Adventure, Nivesh Karki dan ketua malim gunung, Nga Tenji.
Selain itu, dua ahli keluarga Muhammad Hawari turut hadir iaitu, Mohamad Ismail dan Azhar Ilias.
Muhammad Hawari dilaporkan hilang pada 19 Mei lepas selepas keluar meninggalkan Kem Empat pada ketinggian 8,000 meter dari aras laut.
Sehari sebelum itu pada 3.30 petang waktu Nepal, Muhammad Hawari dilaporkan berjaya menawan puncak Everest.
Mengulas lanjut, Azim berkata, operasi SAR terakhir yang diadakan Khamis sepatutnya dilakukan pada Selasa lalu, namun disebabkan cuaca buruk pasukan dan helikopter tidak dapat masuk ke lokasi yang dikesan.
Menurutnya, tiga malim gunung bersama seorang jurugambar yang ditugaskan ke lokasi itu telah menjumpai objek itu dan mengesahkan ia bukan jasad Hawari.
Katanya, operasi SAR ini dijangka disambung pada musim pendakian 2024 namun perkara itu akan dibincangkan terlebih dahulu dengan pihak yang berkenaan.
Azim menambah, penamatan operasi SAR ini juga sudah dibincangkan dan mendapat nasihat daripada pihak kedutaan Malaysia di Nepal.
Jelasnya, operator pengendali aktiviti pendakian ke puncak Everest di Nepal turut menyarankan agar operasi SAR ini ditangguhkan demi keselamatan berikutan faktor cuaca yang tidak menentu ketika ini.
Misi pendakian ME2023 ini dikendalikan oleh syarikat Pioneer Adventure yang berpusat di Nepal dengan menyediakan tenaga malim gunung, logistik, dan makanan sepanjang misi ke puncak Everest.
Sebelum ini Kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menghulurkan bantuan kewangan sebanyak RM1.48 juta dan Kerajaan Pulau Pinang RM500 ribu kepada Kelab Eksplorasi Altitud bagi operasi SAR Hawari.
ARTIKEL BERKAITAN:
Pendaki OKU negara dilapor hilang selepas tawan puncak Everest
Pendaki OKU Malaysia berjaya tawan puncak Everest
Everest semakin berbahaya, semoga Hawari selamat
Everest: Orang ramai titip doa buat Hawari
'Gunung Everest kehilangan salji, lebih kering dan berbatu'
Operasi SAR sukar jika Hawari terjatuh di kaki Gunung Lhotse
Ismail Sabri titip doa kepada mangsa tragedi Everest
Gesa siasatan menyeluruh tragedi Everest
Cuaca tak menentu cabaran cari mangsa hilang Gunung Everest