LEGENDA badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dianggap sebagai calon terbaik, bagi mengisi kekosongan jawatan pengarah kejurulatihan perseorangan persatuan badminton Malaysia (BAM) yang ditinggalkan Wong Choong Hann.
Pandangan itu dilontarkan bekas pemain beregu negara, Tan Boon Heong, yang merasakan bekas pemain nombor satu dunia itu sudah membuktikan kemampuannya, sehingga menerima pengiktirafan Dewan Kemasyhuran Persekutuan Badminton Dunia (BWF), baru-baru ini.
"Calon paling sesuai pastinya Chong Wei, jadi harap dia (Chong Wei) akan masuk dan tolong pasukan kebangsaan.
"Saya rasa ia bukan keputusan teruk untuk menggantikan jurulatih baharu, sebab Choong Hann sudah berada dalam BAM lima tahun. Choong Hann sudah hasilkan keputusan yang baik, namun masih ada ruang untuk baiki kelemahan,” katanya selepas pelancaran Kejohanan Badminton 3v3 Profesional Pertama di Malaysia di sini pada Jumaat.
Diminta memberi bayangan sama ada BAM sudah mempunyai senarai nama yang layak dipilih sebagai jurulatih baharu, Boon Heong yang merupakan antara ahli panel penasihat teknikal BAM berkata:"Jangan risau mesti ada pengganti tetapi saya tidak boleh cakap.”
Pemenang dua pingat emas pada Sukan Komanwel 2010 di New Delhi itu, bagaimanapun berharap siapa pun yang dipilih sebagai jurulatih perseorangan baharu di bawah badan induk badminton negara itu, mampu melahirkan lebih ramai jaguh dunia.
Terdahulu, BAM mengumumkan akan memulakan proses mencari pengganti Choong Hann yang membuat keputusan meletak jawatannya sebagai pengarah kejurulatihan perseorangan BAM.
Namun, proses itu mengambil masa dan badan induk tersebut hanya akan membuat pengumuman rasmi selepas ia dimuktamadkan.
Menerusi laporan media sebelum ini, dimaklumkan Choong Hann, 46, menghantar surat peletakan jawatannya pada minggu lepas, sekali gus menamatkan tempoh perkhidmatan hampir lima tahun bersama BAM.
Kerjaya beliau di BAM bermula sebagai pengarah kejurulatihan kebangsaan pada November 2018 sebelum beralih sebagai pengarah kejurulatihan perseorangan pada tahun lepas. - Bernama