Maqis Labuan rampas buah-buahan dari Brunei

Iklan
Antara buah-buahan yang dirampas Maqis Labuan yang dibawa masuk oleh penumpang di pintu masuk Terminal Feri Antarabangsa Penumpang, Labuan.

LABUAN - Tindakan beberapa penumpang membawa pelbagai jenis buah-buahan dari Brunei tanpa permit import membawa padah apabila buah-buahan itu dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Labuan.

Buah jenis mangga, lemon dan limau mandarin itu dirampas di pintu masuk Terminal Feri Antarabangsa Penumpang di sini pada Selasa lalu.

Iklan
Iklan

Pengarah Maqis Labuan, Nazrul Azman Mat Rahim berkata, hasil pemeriksaan mendapati kebanyakkan konsainan yang ditahan adalah merupakan buah-buahan dari Brunei yang dibawa masuk tanpa permit import yang sah dan sijil Fitosanitasi dari negara asal.

"Pelanggaran di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) menjadi suatu kesalahan dan boleh apabila disabitkan didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya.

Iklan

"Bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya didenda tidak melebihi RM150,000 atau dipenjarakan tidak lebih daripada tujuh tahun atau kedua-duanya," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Nazrul Azman berkata, tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperluaskan di semua pintu masuk negara bagi memantau dan memeriksa setiap keluaran pertanian yang masuk ke negara ini.

Iklan

"Hal ini bagi memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikro organisma yang diimport ke negara ini bebas dari ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar serta mematuhi syarat dan peraturan yang telah ditetapkan," katanya.