PUTRAJAYA - Nilai jualan bazar Ramadan dan Aidilfitri pada tahun ini meningkat 5.9 peratus kepada RM2.5 bilion berbanding RM2.4 bilion yang direkodkan tahun lepas, demikian menurut Statistik Bazar Ramadan dan Aidilfitri 2023 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan (DOSM) pada Jumaat.
DOSM dalam kenyataan hari ini memaklumkan dari segi prestasi mengikut negeri, Selangor, Johor dan Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur menyumbang 50 peratus kepada nilai jualan keseluruhan pada tahun ini.
Selangor mencatatkan nilai jualan bagi bazar Ramadan dan Aidilfitri tertinggi iaitu sebanyak RM564.2 juta, diikuti Johor dengan RM411 juta dan Kuala Lumpur merekodkan RM284.2 juta.
Di peringkat daerah pentadbiran, Johor Bahru mencatatkan nilai jualan tertinggi iaitu RM207.6 juta, diikuti Petaling sebanyak RM204.5 juta dan Klang dengan RM87.4 juta, menurut DOSM.
Bagi prestasi bazar Ramadan, DOSM memberitahu Selangor mencatatkan nilai jualan tertinggi iaitu sebanyak RM451.4 juta, Johor (RM313.5 juta) dan Kuala Lumpur (RM264.3 juta), manakala peringkat daerah pentadbiran, Petaling merekodkan nilai jualan tertinggi sebanyak RM186.0 juta, Johor Bahru (RM148.3 juta) dan Ulu Langat (RM64.3 juta).
Bagi prestasi bazar Aidilfitri, DOSM menjelaskan Selangor mencatatkan nilai jualan tertinggi iaitu RM112.7 juta, Johor dengan RM97.5 juta dan Melaka sebanyak RM47.4 juta manakala Johor Bahru menjadi daerah pentadbiran yang mencatat nilai jualan tertinggi iaitu RM59.3 juta, diikuti Klang (RM53.6 juta) dan Melaka Tengah (RM43.5 juta).
Dari segi jumlah pekerja, DOSM memaklumkan jumlahnya meningkat 30.3 peratus iaitu sebanyak 203,667 orang tahun ini berbanding 156,361 orang yang direkodkan pada tahun lepas.
Selangor mencatatkan jumlah pekerja tertinggi iaitu seramai 6,105 orang, diikuti Johor (5,258 orang) dan Kedah (2,850 orang).
Menurut DOSM, penemuan laporan berkenaan adalah berdasarkan survei yang dijalankan bermula 23 Mac hingga 22 April lepas, meliputi semua bazar yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT). - Bernama