KUANTAN - Kes saman fitnah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Edry Faizal Eddy Yusof, terhadap bekas Ketua Ulama Pas Pahang, Mokhtar Senik, diteruskan dengan perbicaraan selepas kedua-dua pihak gagal menyelesaikannya secara baik menerusi proses mediasi.
Peguam Farhan Haziq Mohamed yang mewakili Edry Faizal berkata, tiada penyelesaian dicapai pada proses mediasi, yang berlangsung di hadapan Mediator Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain, pada Jumaat.
"Perbicaraan kes telah ditetapkan selama dua hari bermula 4 Oktober depan di hadapan Hakim Mahkamah Tingi Datuk Zainal Azman Ab Aziz,” katanya semasa ditemui selepas sebutan kes di Mahkamah Tinggi di sini.
Pada proses mediasi itu, Mokhtar yang dinamakan sebagai defendan hadir bersama peguam Mohd Jamil Yaacob.
Edry Faizal, 38, memfailkan saman itu pada 9 Oktober 2019 kerana mendakwa Mokhtar, 59, telah memfitnahnya menerusi status yang dimuat naik di laman sosial Facebook pemimpin PAS itu, menggunakan akaun 'Mokhtar Dup' pada 28 Ogos 2019.
Status itu didakwa mengandungi poster yang menggunakan gambar Edry Faizal tanpa kebenaran dan mengandungi butiran, seolah-olah beliau mengeluarkan kenyataan mendakwa peristiwa 13 Mei 1969 sebagai kisah dongeng.
Edry Faizal berkata, tindakan defendan secara langsung atau secara alternatif bermaksud beliau antara lain tidak mengetahui sejarah negara, menyebarkan penipuan dan ingin menimbulkan perasaan tidak senang antara kaum di Malaysia.
Edry Faizal juga mendakwa status yang dimuat naik defedan telah mendapat 311 reaksi, 23 komen dan 160 perkongsian setakat 30 Ogos 2019, selain defendan menyedari status itu boleh dibaca orang ramai termasuk daripada luar negara.
Pada pernyataan tuntutannya, Edry Faizal memohon defendan menarik balik status itu dan membuat permohonan maaf serta membayar ganti rugi yang munasabah kepada dirinya, dan tidak mengulangi kenyataan seperti itu pada masa hadapan. - Bernama