Perusuh bakar kediaman menteri di Manipur India

Iklan
Perusuh bertindak membakar kediaman Menteri Luar India, Rajkumar Ranjan Singh yang terletak di Imphal, ibu negeri Manipur di India - Foto dailypioneer.com

NEW DELHI - Perusuh bertindak membakar kediaman Menteri Luar India, Rajkumar Ranjan Singh yang terletak di Imphal, ibu negeri Manipur di India, di tengah-tengah keganasan etnik yang berterusan di negeri itu.

Singh yang juga Menteri Negara Hal Ehwal Luar terkejut dengan serangan itu berkata, undang-undang dan ketenteraman 'lumpuh sama sekali' di negeri berkenaan.

Iklan
Iklan

Walaupun perintah berkurung, sekumpulan lebih 1,000 orang berjaya sampai ke rumah menteri itu pada Khamis, lapor media tempatan.

"Kami berdepan kesukaran untuk mengawal keadaan dan tidak dapat menghalang kejadian itu kerana kumpulan perusuh itu begitu ramai. Mereka membaling bom petrol dari semua arah," kata seorang pegawai keselamatan.

Iklan

Awal minggu ini, kediaman rasmi Menteri Industri Manipur, Nemcha Kipgen yang terletak di kawasan Lamphel Imphal turut dibakar.

Pertempuran antara majoriti komuniti Meitei dan suku kaum, termasuk orang Kuki dan Naga, tercetus selepas 'perarakan solidariti suku kaum' dianjurkan pada 3 Mei.

Iklan

Komuniti suku kaum itu menentang tuntutan Meitei untuk status kategori Suku kaum Berjadual (ST), yang akan memberikan manfaat tambahan kepada Meitei dalam pekerjaan kerajaan, pendidikan dan akses ke tanah bukit dan hutan yang merupakan kawasan dominan Kuki dan kumpulan suku kaum.

Kira-kira 100 orang terbunuh dan lebih 50,000 hilang tempat tinggal akibat konflik itu. - Bernama