Penjawat awam didakwa pecah amanah duit kelab RM26,379.95

Iklan
Anggota polis membawa tertuduh ke Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini.

IPOH - Bekas bendahari Kelab Sukan dan Kebajikan Jabatan Akauntan Negara Malaysia Perak didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh di sini hari ini atas 25 tuduhan pecah amanah berjumlah RM26,379.95, dua tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Roziana Mohd Dahalan, 38, yang kini bertugas sebagai Ketua Penyelaras Unit Pengurusan Latihan di Institut Perakaunan Negara, Sabak Bernam mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Abu Hassan.

Iklan
Iklan

Mengikut semua pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan wang simpanan kelab berjumlah RM26,379.95 di Affin Bank cawangan Ipoh Garden antara 9 Januari hingga 3 Oktober 2017.

Dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 20 tahun dan sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Iklan
Anggota polis membawa tertuduh ke Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nazreen Zabarudin manakala tertuduh diwakili peguam, Ahmad Syahrul Nizam Mohd Radhi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nazreen Zabarudin meminta mahkamah memberikan jaminan RM15,000 terhadap tertuduh.

Iklan

Namun, peguam Ahmad Syahrul Nizam Mohd Radhi merayu jumlah jaminan itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya menanggung dua anak dan tidak pernah mempunyai rekod jenayah lampau.

Selepas mendengar rayuan itu, mahkamah membenarkan Roziana diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes.