Harimau Malaya sisih Natxo Insa, Muhamad Feroz

Iklan
Natxo Insa (kiri) dan Muhamad Feroz

PARA penyokong Harimau Malaya terpaksa melupakan hasrat menyaksikan pemain kacukan, Natxo Insa, beraksi bersama skuad kebangsaan pada perlawanan persahabatan menentang Papua New Guinea, di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus, Selasa depan.

Ia selepas Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon, mengesahkan Natxo bersama rakan sepasukannya di Johor Darul Ta'zim (JDT), Muhamad Feroz Baharudin dilepaskan dari kem latihan pusat skuad kebangsaan di sini, berikutan masalah kecederaan pangkal paha dialami kedua-dua pemain itu.

Iklan
Iklan

Menurut Pan-gon, pemain tengah itu yang menyertai pasukan sejak 10 Jun lalu didapati tidak bersedia untuk beraksi ketika Malaysia menewaskan Kepulauan Solomon pada aksi persahabatan berstatus sama, Rabu kelmarin dan aksi menentang Papua New Guinea.

Sementara pemain pertahanan Muhamad Feroz yang diturunkan dalam kesebelasan utama Rabu lalu, mengalami kecederaan pangkal paha pada perlawanan itu yang menyaksikan Malaysia meraih kemenangan bergaya 4-1.

Iklan

"Semoga kedua-dua mereka cepat sembuh dan boleh kembali beraksi dalam saingan liga domestik bersama JDT, seterusnya kembali cergas untuk dapat dipanggil lagi pada kem latihan pusat Harimau Malaya yang akan datang,” katanya dalam kenyataan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Mengulas lanjut, Pan-gon berkata, dengan ketiadaan Natxo dan Muhamad Feroz, pasukannya akan meneruskan kem latihan pusat dengan baki 24 pemain lain termasuk Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi dan Nooa Laine bagi menghadapi Papua New Guinea.

Iklan

Sebagai rekod, Pan-gon menghadapi situasi sama pada siri persahabatan di Johor, Mac lalu, apabila dua pemain JDT, Arif Aiman Mohd Hanapi dan Endrick Dos Santos, masing-masing dilepaskan dari kem latihan pusat disebabkan faktor kecederaan menjelang aksi menentang Hong Kong. - Bernama