KUALA LUMPUR - Keprihatinan kerajaan membantu pekebun kecil melalui Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) dilihat dapat mengurangkan beban dan kos sara hidup yang dihadapi golongan itu apabila tibanya musim tersebut.
Timbalan Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM), Adzmi Hassan berkata, bantuan itu turut memberi kelegaan kepada pekebun kecil selepas sumber pendapatan mereka terjejas akibat hasil torehan yang berkurangan.
"Alhamdulillah permohonan BMT telah dibuka sejak semalam dan dianggarkan setiap daripada mereka yang layak akan menerima RM800. Difahamkan bantuan ini akan diagihkan bermula November atau selewat-lewatnya akhir Februari secara berperingkat.
"BMT adalah satu usaha murni kerajaan dalam membantu pekebun kecil di seluruh negara dan diharapkan ia dapat diteruskan serta ditambah jumlahnya pada masa akan datang memandangkan kos sara hidup sentiasa meningkat," katanya ketika dihubungi Bernama pada Jumaat.
Di SELANGOR, Penolong Pegawai Pertanian Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Daerah Hulu Selangor, Gombak dan Petaling, Noor Zaidi Yak berkata, bantuan yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bakal memanfaatkan kira-kira 1,300 pekebun kecil yang berdaftar di daerah itu.
"Bagaimanapun, kita masih menunggu surat arahan daripada pihak atasan berkenaan bantuan yang diumumkan dan pihak kami akan menghubungi semua pekebun kecil ini untuk mengemas kini nombor akaun yang biasanya dibuat setahun sekali,” katanya.
Sementara itu, P.Vengadasamy, 50, yang mengusahakan kebun getahnya secara sambilan di Hulu Selangor, berkata, bantuan yang diberikan sedikit sebanyak membantu golongan sepertinya memandangkan harga lantai getah sekerap masih di bawah RM3.
"Kita juga mengalu-alukan bantuan lain yang dapat diberikan kerajaan untuk membela nasib pekebun kecil getah,” katanya.
Di KEDAH, pekebun kecil getah yang berdaftar di bawah RISDA berasa lega dan berterima kasih kepada kerajaan Persekutuan atas bantuan itu.
Anita Noh, 48, dari Kampung Tanah Rang, Jitra berkata, dia bersyukur dengan pengumuman Ahmad Zahid kerana BMT itu sedikit sebanyak membantunya apabila tiba musim tengkujuh.
"Dengan keadaan cuaca yang tidak menentu dan harga getah yang rendah menyebabkan pekebun kecil seperti saya berdepan dengan pelbagai masalah. Justeru, dengan adanya bantuan ini diharap dapat membantu kelangsungan hidup saya,” katanya.
Di KELANTAN, penoreh getah, Abdullah Teh, 63, berkata, bantuan tersebut sedikit sebanyak akan meringankan beban terutama dalam keadaan rakyat berdepan kos sara hidup yang semakin meningkat ketika ini.
"Pada musim tengkujuh aktiviti menoreh memang langsung tidak dapat dilakukan. Di Kelantan musim tengkujuh agak lama, jadi kami terpaksa berjimat dan melakukan kerja sambilan lain untuk menyara kehidupan.
"Walaupun kadang-kadang boleh menoreh, harga getah masih tidak menentu dan sangat memberi kesan kepada golongan seperti kami," katanya.
Abdullah yang menjadikan pekerjaan menoreh sebagai sumber pendapatan keluarganya sejak puluhan tahun, berkata bantuan RM800 berkenaan menunjukkan kerajaan tidak mengabaikan golongan penoreh, sekali gus memberi sedikit kelegaan kepada mereka.
Di PAHANG, seorang penoreh di Temerloh, Norain Nordin, 38, berkata, keputusan kerajaan menaikkan kadar bayaran BMT daripada RM600 kepada RM800 merupakan langkah tepat untuk membantu rakyat, namun dia mengharapkan harga getah juga dapat dinaikkan.
"Ini inisiatif yang baik, saya harap kadar bantuan dapat ditingkatkan pada masa depan memandangkan kos sara hidup semakin tinggi,” katanya.
Di SABAH, pekebun kecil getah, Joel Kalis, 45, yang tinggal di Tongod berharap bantuan itu diteruskan dan disalurkan kepada golongan sasar.
Dia yang merupakan peserta Projek Tanam Getah Berkelompok Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS), menyambut baik pengumuman bantuan itu dan tidak melepaskan peluang untuk memohon sejak ia dibuka semalam.
Ternyata keterbatasan jalur lebar bukan penghalang bagi Joel untuk membuat permohonan secara dalam talian, selain berterima kasih kepada LIGS yang membantu memastikan tiada pekebun kecil berdaftar dengan lembaga itu, yang ketinggalan.
"Bantuan ini boleh meringankan beban kewangan pekebun kecil seperti saya, terutama bila cuaca tidak menentu dengan hujan berterusan hingga kami tidak dapat menoreh. Bantuan sebanya RM800 ini dapat meringankan beban kewangan keluarga saya dan rakan lain," katanya. - Bernama