Majikan cenderung ambil pekerja sama bangsa - Boss James

Iklan
Boss James selaku panelis semasa Program Di Sebalik Isu Bersama FY bertajuk ‘Diskriminasi Kaum Masih Wujud Dalam Dunia Pekerjaan’ yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada Jumaat. - Foto SINAR HARIAN/ MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH

SHAH ALAM - Segelintir majikan lebih cenderung mengambil pekerja sama bangsa dengannya bagi mengelakkan berlaku masalah komunikasi.

Pengarah Urusan, Berjaya Mega Motors, James Ng atau dikenali Boss James berkata, masalah pertuturan bahasa Melayu juga menjadi punca majikan sukar mengambil pekerja berlainan bangsa.

Iklan
Iklan

"Komunikasi antara majikan dan pekerja sangat penting apabila terdapat sesetengah majikan lebih senang mengambil pekerja berbangsa Cina kerana mereka tiada kesukaran untuk memahami antara satu sama lain.

"Terdapat majikan berbangsa Cina yang kurang fasih bertutur dalam bahasa Melayu sehingga kadangkala terjadi salah faham dengan pekerja berbangsa Melayu,” katanya selaku panelis semasa program Di Sebalik Isu Bersama FY bertajuk 'Diskriminasi Kaum Masih Wujud Dalam Dunia Pekerjaan', pada Jumaat.

Program yang dihoskan Finaz Yunus itu turut dihadiri oleh Felo kanan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu (MTEM), Ahmad Yazid Othman.

Iklan
Program Di Sebalik Isu Bersama FY bertajuk 'Diskriminasi Kaum Masih Wujud Dalam Dunia Pekerjaan', pada Jumaat menampilkan Finaz itu turut dihadiri oleh Boss James (tengah) dan Ahmad Yazid. - Foto SINAR HARIAN/ MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH

Dalam pada itu, beliau berkata, walaupun terdapat unsur keutamaan bangsa yang diamalkan oleh sebahagian syarikat, namun ia bergantung kepada majikan itu sendiri.

Tambah James, persepsi yang ditimbulkan oleh generasi terdahulu menyebabkan terdapat majikan berbangsa Cina mempercayai perkara tersebut walaupun ia bersifat tabu.

Iklan

Ujarnya, setiap majikan perlu bijak bagi mengatasi isu diskriminasi pekerjaan mengikut kaum kerana persepsi buruk itu hanya boleh diubah oleh individu tersebut.

"Kalau anak muda zaman sekarang boleh buktikan diri mereka mampu bekerja dengan lebih baik dengan rasa semangat sekiranya mentaliti, cara bekerja dan niat bekerja diubah kepada lebih positif.

"Cara mengatasi perkara ini adalah dengan memahami setiap insan, hormat-menghormati atau berkomunikasi sehingga tiada jurang antara kaum, kerana kita berbeza budaya dan agama untuk memahami antara satu sama lain,” katanya.